BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 AM

Airbnb mohon P.Pinang timbang semula draf STRA

05/08/2022 06:54 PM

GEORGE TOWN, 5 Ogos (Bernama) -- Syarikat hospitaliti global, Airbnb meminta kerajaan negeri Pulau Pinang menimbangkan semula draf cadangan penginapan sewaan jangka pendek (STRA) kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan pemulihan industri pelancongan dan ekonomi negeri itu.

Ketua Dasar Awam untuk Airbnb di Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh berkata pihaknya bimbang cadangan draf untuk aktiviti STRA itu akan menyukarkan rakyat negara ini untuk menjana pendapatan, malah boleh meletakkan pilihan ekonomi komuniti dalam keadaan berisiko pada masa akan datang.

"Semasa dialog awam bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo pada 28 Julai lepas, pihak Airbnb dan ahli-ahli komuniti hos Airbnb berbincang dan memberikan maklum balas mengenai cadangan-cadangan yang diusulkan oleh majlis penduduk tempatan dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dalam bidang aktiviti STRA.

"Kami (Airbnb) menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan Jagdeep untuk JMB tempatan melaksanakan had ketat terhadap aktiviti STRA sehingga tiga malam seminggu, 180 malam setahun dan menghalang STRA di bangunan strata komersial melainkan 75 peratus pemilik hadir dalam mesyuarat agung bagi mengundi untuk membenarkan STRA.

"Airbnb sebaliknya meminta tiada had malam dikenakan kerana had STRA semasa yang dicadangkan, jika dipersetujui oleh JMB di bangunan strata komersial ia akan menyekat keupayaan Pulau Pinang untuk mengembangkan ekonomi industri pelancongan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Goh berkata dalam masa yang sama, situasi itu juga akan menyukarkan pengembara domestik dan antarabangsa untuk meneroka rantau itu dan ia secara tidak langsung akan menjejaskan keupayaan Pulau Pinang untuk kekal berdaya saing.

Katanya pihaknya juga ingin menggesa Jagdeep agar membenarkan aktiviti STRA untuk diteruskan di bangunan strata komersial, dan JMB serta pemilik hartanah boleh memperkenalkan undang-undang yang berkaitan untuk aktiviti STRA di dalam bangunan.

"Panduan STRA di peringkat negeri seharusnya menggalakkan industri pelancongan dan bukannya menyekat aktiviti pelancongan Pulau Pinang. Kami amat percaya bahawa STRA boleh dan perlu dikawal selia secara adil dan seimbang untuk manfaat semua pihak berkepentingan,"katanya.

Sebelum ini, Jagdeep dilaporkan berkata kerajaan negeri akan memperkenalkan Garis Panduan Pengoperasian Tempat Inap Persendirian di Skim Hartanah Berstrata dan Skim Kediaman Atas Tanah yang dijangka dikuatkuasakan awal Januari depan.

Garis panduan itu dirangka bersama PBT dan agensi-agensi berkaitan sejak Disember tahun lalu dan kini lebih 90 peratus siap.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan