BERITA COVID–19   Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | Trend kes COVID-19 di Labuan kembali meningkat | 
EKONOMI

Dewan Rakyat lulus tiga RUU berkaitan keuntungan luar biasa, cukai jualan dan perkhidmatan

04/08/2022 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos  (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998.

RUU yang mengandungi tujuh Fasal itu antara lain bertujuan meminda Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 (Akta 592) untuk memberi Menteri Kewangan kuasa untuk melanjutkan tempoh pembayaran cukai di bawah akta tersebut sekiranya berlaku kecemasan atau krisis kesihatan awam.

Pindaan tersebut juga bertujuan untuk membolehkan Menteri Kewangan menambah, memotong atau mengubah apa-apa terma dan syarat yang dikenakan menurut Akta 592 bagi melaksanakan tujuan Akta 592, dengan syarat bahawa notis munasabah diberikan kepada orang yang terikat dengan terma dan syarat itu.

RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2022 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Mohd Shahar Abdullah diluluskan selepas tujuh Ahli Parlimen berbahas.

Mohd Shahar berkata RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2022 adalah bagi meminda Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 (Akta 592) dengan memasukkan peruntukan baharu dan mengemaskini peruntukan sedia ada untuk menambah baik pentadbiran levi keuntungan luar biasa.

Beliau berkata pindaan akta ini juga membolehkan fasiliti tertentu diberikan kepada pembayar cukai khususnya semasa berlaku kecemasan awam dan krisis kesihatan awam.

Dewan Rakyat hari ini turut meluluskan RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2022 yang mengandungi 10 Fasal dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2022 yang mengandungi tujuh Fasal.

RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2022, bagi meminda  Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806), melibatkan pindaan ke atas empat seksyen sedia ada dan mewujudkan lima seksyen, satu jadual dan satu bahagian baharu dalam akta tersebut.

Mohd Shahar berkata antara pindaan akta tersebut adalah bagi meluaskan skop kenaan cukai jualan dengan mengenakan cukai jualan ke atas barang bernilai rendah (LVG) yang dijual secara dalam talian dan barang tersebut diimport masuk ke Malaysia.

Pada masa ini, LVG bernilai RM500 dan ke bawah tidak dikenakan sebarang cukai apabila diimport masuk ke Malaysia selaras dengan kemudahan de minimis.

Mohd Shahar berkata ini telah menyebabkan layanan tidak adil kepada peniaga tempatan kerana barangan yang diimport tidak dikenakan cukai, sedangkan barangan keluaran tempatan tertakluk kepada kenaan cukai jualan pada kadar yang ditetapkan.

RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2022 adalah bagi meminda Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) yang antara lain bertujuan memberi fasilitasi kepada industri dan pembayar cukai lanjutan tempoh masa daripada yang telah ditetapkan di bawah akta tersebut.

Mohd Shahar berkata pindaan ini juga berbentuk pentadbiran am yang bertujuan memberi kemudahan kepada pemain industri dan pembayar cukai.

-- BERNAMA


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan