KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd menjangkakan persaingan yang kuat dalam ruangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari bank digital baharu yang memperoleh lesen dari Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Joel Kornreich.
Segmen PKS adalah antara perniagaan utama untuk memacu prestasi kewangan bank itu.
"Jadi, (ia) bukan sebenarnya (persaingan) dalam ruangan pengguna, tetapi dalam ruangan PKS. Matlamat mereka (bank digital) juga adalah untuk mencuba dan memberi perkhidmatan kepada PKS yang lebih kecil dan PKS yang baharu ditubuhkan.
"Jadi itu adalah ruang kami akan bersaing. Apa yang kami cuba lakukan adalah untuk memberikan kemudahan," katanya kepada pemberita dalam sidang media maya pada mesyuarat agung tahunan bank itu.
Oleh itu, beliau berkata bank itu akan menggunakan pelbagai saluran - secara digital dan fizikal - untuk meraih lebih ramai pelanggan PKS.
“Sebagai contoh, kami boleh memberikan pinjaman tidak bercagar sehingga RM500,000 berdasarkan penyata dalam tempoh enam bulan untuk pelanggan ini,” katanya.
Bagi segmen pengguna (pinjaman), Kornreich berkata kumpulan itu "agak mengetatkan kriteria kami dalam pasaran" di tengah-tengah peningkatan inflasi dan (kenaikan) kadar faedah.
Kornreich berkata bank itu masih belum melihat permintaan pinjaman yang perlahan, walaupun BNM menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) dua kali dalam keadaan inflasi yang semakin meningkat.
Setakat ini, pertumbuhan pinjaman industri adalah kira-kira lima peratus tahun ini.
Beliau berkata pada asas tahunan, kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas bermakna kira-kira empat mata asas faedah bagi bank itu.
“Ia kira-kira RM20 juta hingga RM25 juta faedah kerana lembaran imbangan kami adalah dalam cara ia mendapat faedah daripada kenaikan OPR. Dan sudah tentu, ia terjejas apabila OPR turun.
''Kami telah mengurangkan kesan tersebut sejak beberapa tahun lepas kerana kami percaya bahawa pada penghujung hari, perniagaan teras kami yang penting dan kami tidak membuat spekulasi mengenai kenaikan atau penurunan kadar tetapi kami boleh mengatakan bahawa terdapat kesan apabila itu berlaku,'' katanya.
Bagi prestasi kewangan tahun kalendar 2022, bank itu kekal pada landasan unjuran tahun kewangan 2023.
Alliance Bank menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan pinjaman kasar antara enam hingga lapan peratus, pulangan atas ekuiti lebih 10 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan melebihi 45 peratus pada tahun kewangan 2023.
Ia juga menyasarkan untuk mencapai RM2.6 bilion dalam perniagaan perbankan baharu dan akan melancarkan cadangan pembiayaan mampan di bawah inisiatif Kemudahan Peralihan Karbon Rendah untuk PKS.
Keuntungan bersih Alliance Bank melonjak kepada RM572.82 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 daripada RM358.78 juta pada tahun sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan oleh hasil yang lebih tinggi daripada pendapatan faedah bersih dan peruntukan yang lebih rendah untuk jangkaan kerugian kredit.
Hasil untuk tahun itu adalah lebih tinggi sedikit pada RM1.87 bilion berbanding RM1.82 bilion sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial