AM

P.Pinang terima baton Jalur Gemilang KMKM 2022 di Sungai Kerian

03/08/2022 10:23 PM

NIBONG TEBAL, 3 Ogos (Bernama) -- Lebih 20 bot terlibat dalam majlis khas penyerahan baton Jalur Gemilang Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 (KMKM 2022) Sempena Bulan Kebangsaan dari Perak kepada Pulau Pinang yang berlangsung di Sungai Kerian melibatkan lebih 20 bot.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim berkata gimik penyerahan baton itu sengaja diadakan di sungai berkenaan dalam membangkitkan keunikan majlis.

"Macam di Nibong Tebal ini, sempadan negeri Pulau Pinang melibatkan Kedah dan Perak, jadi untuk lebih istimewa serta lain dari yang lain, kita guna sempadan di Sungai Kerian. Ini antara lain juga supaya komuniti setempat lebih tertarik untuk bersama-sama meraikkannya.

"Sebanyak 20 bot membabitkan pelbagai agensi dan juga nelayan terlibat semasa penyerahan baton Jalur Gemilang oleh konvoi KMKM 2022 Perak hari ini, ia berjalan lancar penuh meriah," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan program konvoi KMKM 2022 dan penyerahan baton dari Perak kepada Pulau Pinang, di sini hari ini, dan majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Pulau Pinang Dr Haniff Hassan.

Haniff berkata konvoi KMKM 2022 di Pulau Pinang akan menjelajah ke lima buah daerah yakni Seberang Perai Selatan, Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan seterusnya penyerahan baton kepada Kedah di Jambatan Merdeka di Seberang Perai Utara, esok.

"Di Pulau Pinang, konvoi KMKM 2022 turut melibatkan kerjasama daripada Komuniti Keluarga Malaysia yang sama-sama membantu memeriahkan dan mengagihkam jalur gemilang, malah mereka (Komuniti Keluarga Malaysia) turut menganjurkan pelbagai aktiviti untuk orang ramai," katanya.

Terdahulu beliau mengetuai KMKM2022 Pulau Pinang, diiringi 20 motosikal berkuasa besar dan jentera dari Kelab Permotoran BMW K16 Malaysia dan Pasukan Tindakan Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (CDERT-APM).

Turut sama dalam KMKM2022 ialah unit peronda kereta dan motosikal Polis DiRaja Malaysia (PDRM), JaPen dan APM.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan