JENAYAH & MAHKAMAH

Tahap 3: Kerajaan tekad tambah baik sistem banteras jenayah pemerdagangan orang - Hamzah

02/08/2022 05:08 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Kerajaan bertekad untuk menambah baik penguatkuasaan, meningkatkan pendakwaan serta memperkasa perlindungan kepada mangsa pemerdagangan orang dan membanteras jenayah pemerdagangan manusia, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagi memastikan keberkesanan tindakan oleh kerajaan, Hamzah berkata perkongsian maklumat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO),  Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO), rakyat serta media diperlukan memandangkan sifat jenayah dan modus operandi jenayah pemerdagangan orang yang licik dan berubah-ubah.

Katanya pihak berkenaan boleh membantu kerajaan dalam melaksanakan program perlindungan serta sokongan kepada mangsa serta melaksanakan program pencegahan bagi memberi kesedaran kepada umum mengenai jenayah berkenaan.

“Pihak syarikat dan majikan berperanan melaksanakan amalan perburuhan yang baik selaras dengan perundangan domestik dan piawaian di peringkat global. 

Syarikat dan majikan juga digesa mematuhi sepenuhnya undang-undang perburuhan negara bagi mengelakkan diambil tindakan atas kesalahan-kesalahan seperti pemerdagangan orang dan buruh paksa,” katanya.

Hamzah berkata demikian ketika sesi penerangan Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang Tahun 2022 menurut usul di bawah Peraturan Mesyuarat 14 (1) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Laporan JNAS mengenai pemerdagangan orang merupakan penilaian peringkat global yang dilakukan oleh Amerika Syarikat terhadap 188 negara dalam aspek penguatkuasaan dan pendakwaan, pencegahan serta perlindungan, menyaksikan Malaysia dinilai berada pada kedudukan Tahap 3 pada tahun 2022.

Menyentuh Laporan JNAS itu, Hamzah menyifatkan penilaian itu sebagai subjektif kerana ia bukan hanya berdasarkan maklumat diperoleh daripada Kerajaan Malaysia, sebaliknya membabitkan mana-mana NGO dan CSO.

Hamzah turut menjelaskan mengenai beberapa isu yang dibangkitkan dalam Laporan JNAS termasuk negara ini tidak mempunyai rumah perlindungan di utara Semenanjung Malaysia, sedangkan pada hakikatnya sebuah rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang kendalian NGO di Pulau Pinang telah beroperasi sejak 2017.

Secara keseluruhannya, terdapat 10 rumah perlindungan bagi mangsa pemerdagangan orang di seluruh negara iaitu lapan rumah perlindungan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan dua rumah perlindungan di bawah seliaan NGO.

“Untuk rumah perlindungan seliaan kerajaan, peruntukan tahunan secara purata berjumlah RM5 juta disediakan oleh pihak kerajaan melalui KPWKM bagi tujuan pengurusan dan pengoperasian lapan rumah perlindungan tersebut manakala sejak 2017, kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM4.04 juta bagi tujuan pengurusan rumah perlindungan seliaan NGO,” katanya.

Hamzah berkata terdapat kekhilafan mengenai penggunaan gari kepada mangsa pemerdagangan orang kerana prosedur penggunaan gari hanya terpakai kepada warga negara asing yang menyalahi undang-undang imigresen iaitu ketika operasi penguatkuasaan dilaksanakan untuk tujuan keselamatan.

“Ada kalanya, proses penggunaan gari yang dikenakan kepada mangsa adalah suatu tindakan bagi menyelamatkan mereka daripada apa-apa tindakan di luar dugaan dan ia berlaku buat sementara semasa operasi. Bagi mereka yang sudahpun dikenal pasti sebagai mangsa, mereka tidak akan digari,” katanya.

Mengenai laporan mengatakan pegawai khidmat sokongan mangsa (VAS) dihalang daripada menyertai operasi menyelamat dan mengenal pasti mangsa, Hamzah berkata ia tidak berlaku kerana VAS yang dilantik dalam kalangan penjawat awam dan NGO sentiasa terlibat dalam membantu pihak penguat kuasa.

Hamzah berkata selain daripada berpandukan pematuhan kepada instrumen antarabangsa seperti UNTOC (United Nations Convention Against Transnational Organised Crime) dan Protokol TIP (Protokol Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu mengenai Pemerdagangan Orang), penilaian ini juga berpandukan perundangan Amerika Syarikat untuk jenayah pemerdagangan orang iaitu Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan 2000 (TVPA). 

Menteri Dalam Negeri itu berkata ada kalanya terdapat perbezaan dengan undang-undang dan amalan yang diguna pakai di Malaysia dalam konteks tiga elemen penilaian iaitu pendakwaan dan penguatkuasaan, perlindungan mangsa dan pencegahan.

Hamzah menegaskan bahawa Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2021-2025 yang dilancarkan Mac tahun lepas adalah komitmen kerajaan dalam menangani isu dan membanteras jenayah pemerdagangan orang di Malaysia.   

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan