Daripada Muhammad Afiff Md Adnan
UBON RATCHATHANI (Thailand), 1 Ogos (Bernama) -- Skuad sepak takraw ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 bersiap sedia menghadiahkan pingat emas buat kontinjen sekali gus mengembalikan maruah sukan sepak takraw negara.
Ia selepas pencapaian kurang memberangsangkan skuad sepak takraw senior negara yang hanya membutirkan pingat emas tunggal pada Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 di Bangkok, berakhir pada Ahad lepas.
Skuad sepak takraw senior negara hanya meraih emas dalam acara beregu menewaskan Laos sebelum terkandas kepada Thailand dalam acara berpasukan pada separuh akhir serta tewas kepada tuan rumah itu dalam acara regu.
Tekong muda negara, Zuhri Muhammad Zin berkata beliau serta rakannya berhasrat membutirkan emas dalam tiga acara dipertandingkan pada temasya AUG itu.
“Sukan sepak takraw akan membuka tirai esok dengan acara berpasukan. Selain itu, Malaysia akan menyertai dua acara lain iaitu antara regu dan beregu.
“Kita sasarkan emas dalam acara berpasukan, namun tidak mustahil dapat lakukan kejutan untuk dua emas lagi. Ikutkan persediaan kami mampu lakukan yang terbaik," katanya.
Jelas Zuhri, kem sepak takraw juga optimis untuk membuahkan keputusan yang terbaik di pentas itu.
“Persaingan di AUG ini sebenarnya kita tidak tahu lagi sehebat mana, apa yang pasti kami mampu dan yakin dapat buat yang terbaik untuk tebus maruah sepak takraw negara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial