KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Dalam usaha menyemarakkan tranformasi pendidikan ke arah digitalisasi, Kementerian Pendidikan (KPM) akan melancarkan DELIMa atau nama penuhnya Digital Educational Learning Initiative Malaysia 2.0 yang lebih bersifat interaktif.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM Zainal Abas berkata platform pembelajaran digital itu mengandungi bahan pengajaran yang boleh diakses bukan sahaja oleh para guru bahkan murid dan ibu bapa dalam membantu proses pembelajaran.
“Bercakap mengenai Internet sebenarnya adalah mengenai bagaimana ia dapat membantu menjadikan sistem pendidikan lebih menyeronokkan dan pelajar dapat melakukan kajian secara dalam talian… walaupun sekarang mungkin tiada keperluan untuk pembelajaran dalam talian tetapi kegunaan komputer masih boleh diperkasa melalui sumber pendidikan yang lebih interaktif.
“Menyentuh tentang interaktif, dahulu kita ada lancarkan platform DELIMa yang mengandungi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang boleh digunakan oleh guru dan juga murid serta ibu bapa… jadi dalam tempoh program Semarakkan Tranformasi Pendidikan, kita akan lancarkan DELIMa 2.0 dengan membangunkan Kecerdasan Buatan untuk jadikan pengalaman murid dan guru apabila gunakan DELIMa ini lebih menarik dan interaktif bahkan pengguna juga boleh berkomunikasi untuk mendapatkan maklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan’ terbitan Bernama TV malam ini.
DELIMa, yang dilancarkan pada 15 Jun 2020, disokong oleh tiga rakan strategik iaitu Apple, Microsoft dan Google yang bukan sekadar platform kepada proses PdP tetapi juga bertindak sebagai ruang perkongsian serta kolaborasi antara guru.
Zainal juga berkata KPM sedang dalam perancangan melatih para guru menggunakan sistem ‘microsoft reading progress’ dalam membantu penguasaan murid khasnya membaca dalam Bahasa Inggeris.
Beliau berkata proses transformasi pendidikan digital tidak akan terhenti meskipun negara memasuki fasa pengakhiran COVID-19 bahkan ia akan terus dipertingkat seiring keperluan semasa.
“Kita akan terus tingkatkan transformasi digital untuk bantu murid dan sekolah, kalau kita lihat selain makmal komputer yang akan ditambah baik, kita juga wujudkan kelas hibrid untuk kegunaan murid, ini antara yang akan dilaksana dalam tempoh Bulan Kemerdekaan dalam usaha bersama semarakkan transformasi pendidikan,” katanya.
Bagi memastikan transformasi pendidikan tidak lagi berorientasikan peperiksaan, Zainal berkata KPM juga sedang merangka sesi libat urus untuk memberikan penerangan kepada umum termasuk pihak berkepentingan di sekolah seperti ibu bapa dan masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial