AM

K-KOMM buka pencalonan untuk Anugerah Seri Angkasa 2022

01/08/2022 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menganjurkan Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2022 bagi merancakkan semula landskap industri kreatif yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada awal 2020 akibat pandemik COVID-19. 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata keputusan untuk menganjurkan ASA 2022 dipersetujui Jemaah Menteri pada Jumaat lepas dan penganjuran itu merupakan kerjasama strategik antara K-KOMM bersama sektor swasta. 

“Pencalonan ASA 2022 dibuka mulai 1 hingga 31 Ogos,” katanya pada sidang media pencalonan ASA 2022 di Wisma Radio, Angkasapuri di sini hari ini. 

Menurut Zahidi, penganjuran ASA 2022 bertemakan ‘Kemuncak Kecemerlangan’ adalah sempena sambutan Jubli Emas ASA yang mula dianjurkan pada 1972 dan kini memasuki edisi ke-34 dengan tarikh penganjuran majlis itu dijangka berlangsung pada Oktober ini. 

Beliau berkata stesen penyiaran kerajaan dan swasta dijemput untuk mengemukakan pencalonan secara rasmi menerusi www.anugerahseriangkasa.gov.my dan syarat umum pencalonan ASA 2022 dan kriteria pencalonan bagi setiap kategori turut dimuatkan dalam laman web itu.

Zahidi berkata rancangan yang dicalonkan mestilah pertama kali disiarkan di saluran televisyen, stesen radio atau akaun YouTube rasmi masing-masing dalam tempoh antara 1 Jan 2020 hingga 31 Dis 2021. 

Beliau berkata buat julung kalinya ASA 2022 memperkenalkan lima kategori media sosial iaitu drama pendek, sketsa pendek, video klip hiburan, pesanan khidmat masyarakat dan drama bersiri menerusi YouTube rasmi terbaik. 

Katanya secara keseluruhannya sebanyak 72 kategori bakal dipertandingkan di ASA 2022 termasuk 43 kategori televisyen, 22 kategori radio, satu anugerah khas juri dan satu tokoh ASA. 

Menurutnya K-KOMM melantik barisan juri profesional dalam kalangan ahli akademik daripada industri kreatif dan pemain industri yang berkelayakan bagi memastikan anugerah tersebut terus dipertandingkan pada masa akan datang. 

Zahidi juga menjangkakan pencalonan yang diterima pada ASA 2022 adalah lebih tinggi berikutan kategori media sosial yang menjadi kategori baharu dalam anugerah itu. 

Katanya penganjuran ASA 2022 diharap dapat menggalakkan pihak penyiar dan karyawan industri kreatif untuk menerbitkan rancangan radio dan televisyen yang lebih kreatif, berkesan dan berkualiti tinggi serta membuka peluang pekerjaan kepada penggiat industri kreatif tempatan untuk berkarya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan