POLITIK

PAS kekalkan Ahli Parlimen, ADUN cemerlang sebagai calon PRU15

30/07/2022 03:44 PM

BACHOK, 30 Julai (Bernama) -- PAS akan mengekalkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang menunjukkan prestasi cemerlang, sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hal ini kerana sebahagian besar daripada mereka merupakan kekuatan parti itu.

"Mengenai pemilihan calon baharu pula, PAS Pusat akan menerima cadangan yang dikemukakan di peringkat negeri sebelum nama mereka dimuktamadkan.

"Namun, pemilihan calon baharu yang bakal bertanding ini masih terlalu awal untuk diputuskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Pasir Puteh dekat Tok Bali, di sini hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata pihaknya ketika ini sedang membuat penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sekarang ini kita sedang menyusun KPI dari segi kemampuan jentera, kekuatan cawangan dan keahlian supaya persediaan rapi dapat dilakukan ketika berdepan PRU15," katanya.

Pada PRU14, PAS memenangi 18 kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan