AM

Farm Fresh sumbang biasiswa pendidikan kepada anak Orang Asli

28/07/2022 10:07 PM

ROMPIN, 28 Julai (Bernama) -- Syarikat pengeluar produk tenusu, Farm Fresh Berhad hari ini melancarkan Program Biasiswa Murid Orang Asli, sebagai sokongan dan tanda prihatin terhadap bidang pendidikan masyarakat itu.

Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh Azmi Zainal berkata program itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Pahang yang buat permulaan melibatkan seramai 20 murid Orang Asli daripada lima sekolah di daerah Rompin.

Beliau berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya itu akan memberi bantuan wang tunai secara bulanan iaitu RM150 kepada murid Tahun 5 dan 6 yang terpilih.

“Secara keseluruhan program ini melibatkan peruntukan sebanyak RM900,000 kerana pihak kami akan beri mereka biasiswa sehingga dapat melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan semestinya beberapa syarat ditetapkan untuk pastikan biasiswa mereka dikekalkan antaranya keputusan cemerlang dan rekod ke sekolah yang baik.

“Kami juga berharap biasiswa ini dapat menjadi motivasi dan pemangkin kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh selain menjadi contoh kepada adik-beradik dan rakan-rakan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan biasiswa berkenaan di Kompleks Tenusu Muadzam Shah, di sini hari ini.

Mengulas mengenai pemilihan pelajar, Azmi berkata seramai 45 murid telah disenarai pendek untuk menghadiri proses temu duga sebelum 20 murid dipilih untuk menerima biasiswa menerusi projek rintis berkenaan.

Katanya, murid yang terpilih mempunyai prestasi akademik yang baik, kepetahan bertutur, keyakinan diri dan mempunyai kesedaran yang tinggi untuk maju dan berjaya.

“Kami berharap mereka ini akan terus mencapai kecemerlangan sehingga berjaya ke universiti dan kembali semula bekerja di Farm Fresh. Selain itu, saya berharap lebih banyak syarikat tampil untuk membantu masyarakat Orang Asli terutamanya dari segi pendidikan mereka,” katanya.

Bagi Aikil Mohd Shawal,12, beliau teruja dan gembira apabila terpilih menerima biasiswa tersebut yang akan digunakan untuk membeli kelengkapan sekolah.

“Terima kasih kerana bagi biasiswa ini, rasa seronok terpilih kerana saya boleh beli buku dan barang sekolah, kalau ada lebih saya nak simpan untuk kegunaan bila perlu,” kata murid Sekolah Kebangsaan Buluh Nipis itu. 

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata pihaknya akan terus menyokong dan memberi galakan dalam bidang pendidikan terutama melibatkan masyarakat Orang Asli.

Katanya, ECERDC juga dijangka akan meneruskan program pendidikan merangkumi program motivasi dan tuisyen kepada masyarakat itu pada tahun hadapan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan