AM

Terengganu bakal jadi sumber rujukan digital kegemilangan sejarah Islam, ulama

26/07/2022 02:14 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Julai (Bernama) -- Terengganu akan menjadi sumber rujukan digital utama di negara ini berkaitan tokoh-tokoh ulama dan manuskrip ketamadunan Islam, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman.

Beliau berkata ia susulan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Terengganu Strategic & Integrity Institute ( TSIS) bagi membangunkan sejarah kegemilangan Islam dan tokoh-tokoh ulama di Terengganu dalam bentuk digital.

"Semua manuskrip lama yang ada di Terengganu akan dibangunkan secara digital melalui penerapan elemen multimedia untuk menyampaikan informasi secara lebih interaktif.

"Buat permulaan, projek ini adalah berkenaan Tokku Pulau Manis untuk divisualisasikan dalam bentuk digital yang turut mendapat kerjasama pakar Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)," katanya menjawab soalan lisan Ahmad Shah Mohamed (PAS-Bandar) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga akan mewujudkan pakej baharu pelancongan iaitu 'Ulama Trail' dengan mengenal pasti laluan dan kesan-kesan sejarah yang  membawa kepada perkembangan Islam di Terengganu.

"Antara lokasi Ulama Trail ialah Makam Tok Pelam, Makam Tokku Paloh, Makam Tokku Pulau Manis, Masjid Hiliran, Kota Duyung, Masjid Rusila, Makam Tok Gajah dan Memorial Batu Bersurat," katanya.

Untuk aspek promosi di peringkat antarabangsa pula, beliau berkata satu perbincangan awal telah diadakan bersama Kedutaan Turki di Malaysia bagi menjalinkan kerjasama berkonsepkan pelancongan pendidikan yang meliputi segmen sejarah dan keilmuan Islam. 

"Satu perbincangan lanjut berkenaan dengan segmentasi kerjasama tersebut akan diadakan pada September ini sempena kunjungan hormat Duta Turki ke Terengganu," katanya.

Persidangan DUN ditangguhkan hari ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan