AM

AKM Kelantan: Wau Sobek, seni warisan jana pendapatan sampingan

22/07/2022 07:35 PM

Oleh Balqis Jamaludin

KOTA BHARU, 22 Julai (Bernama) -- Seni pembuatan wau sobek iaitu wau tradisional diperbuat daripada kertas bukan hanya menjadi aset kemahiran seni kraftangan warisan Wan Mohammad Luqman Wan Abdul Manaf, bahkan ia menjadi sumber pendapatan sampingannya.

Menjadi antara generasi pewaris pembuatan alat permainan tradisional, pemuda berusia 30 tahun itu berazam meneruskan penghasilan wau sehingga ke akhir hayatnya bagi memastikan alat permainan tradisional yang sinonim dengan negeri Cik Siti Wan Kembang tidak lenyap ditelan zaman.

Kemahiran Wan Mohammad Luqman melakukan demonstrasi pembuatan wau sobek di reruai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan yang bermula hari ini hingga Ahad, ternyata menarik perhatian ramai pengunjung.

 Bagi Wan Mohammad Luqman, siri jelajah seumpamanya menjadi platform terbaik untuknya menonjolkan bakat membuat wau sobek yang dipelajarinya sejak berusia 13 tahun, seni yang jarang menarik perhatian generasi muda.

“Demonstrasi pembuatan alat permainan tradisional seperti wau sobek perlu diperbanyakkan dalam siri jelajah seumpama ini kerana ia dapat membantu meningkatkan pasaran wau sobek dan seterusnya membantu ekonomi pembuat wau seperti saya.

Kita juga harapkan lebih ramai anak muda berminat untuk menceburi bidang pembuatan wau yang semakin dilupakan ini,” katanya ketika ditemui Bernama pada Jelajah AKM Kelantan, di Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Pemuda yang berasal Pantai Cahaya Bulan itu berkata beliau mula mempelajari seni pembuatan wau daripada pembuat wau tersohor di Kelantan iaitu Allahyarham Shafie Jusoh ketika berada di Tingkatan Satu.

“Pada waktu itu setiap sekolah perlu menghantar wakil untuk satu pertandingan wau dan cikgu memilih saya. Kami yang terpilih mewakili sekolah perlu mempelajari teknik pembuatan wau jadi saya belajar daripada Adiguru Shafie,” katanya yang merupakan satu-satunya pembuat wau di dalam keluarganya.

Wan Mohammad Luqman, yang merupakan peniaga kedai runcit menjadikan pembuatan wau sebagai pekerjaan sampingan mampu meraih pendapatan sehingga RM2,000 sebulan melalui jualan wau sobek hiasan dan wau sobek terbang yang berharga antara RM100 hingga RM1,000.

Katanya antara cabaran yang dihadapi sepanjang pembuatan wau adalah penghasilan corak yang perlu dilukis dan diukir dengan teliti.

“Pembuatan wau juga mengambil masa lama kerana corak yang kecil perlu diukir satu persatu. Contohnya bagi satu wau yang berukuran 18 inci (45.7 sentimeter), saya perlu mengambil masa selama empat hari untuk disiapkan. Peralatan yang diperlukan untuk penghasilan wau pula adalah kertas, buluh dan tali,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan Rosmaliza Ibrahim berkata demonstrasi pembuatan wau sobek menerima sambutan yang sangat menggalakkan.

“Melalui demonstrasi pembuatan wau sobek pada siri jelajah kali ini, pengunjung dapat melihat sendiri cara-cara membuat wau sobek. Apabila kita tonjolkan acara seumpama ini barulah orang ramai faham kenapa harga wau sobek dikatakan agak mahal kerana proses pembuatannya yang rumit.

“Kita juga sangat seronok melihat anak-anak muda yang teruja melihat wau sobek sehingga ada yang mengambil gambar untuk dimuat naik dalam laman sosial,” katanya.

 -- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan