AM

PAAB, NAHRIM SETUJU TEROKAI TEKNOLOGI BAHARU ASET AIR

21/07/2022 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) -Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) - menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menerokai pelbagai bidang dan teknologi baharu dalam membangunkan aset air yang lebih efektif dan mesra alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Abdul Hadi Ali berkata MoU ini membolehkan PAAB dan perunding yang dilantik mendapatkan akses kepada data NAHRIM mengenai sumber air, analisis kepada kesan perubahan iklim dan kemudahan makmal untuk menjalankan ‘modelling experiments’.

“Ia berupaya membantu perunding kejuruteraan PAAB menjalankan kajian dan reka bentuk sesebuah projek pembangunan aset air, khususnya reka bentuk muka sauk dan loji rawatan air (LRA).

“Terdapat tiga pengkhususan yang akan diterokai iaitu ekstrak dan teknologi rawatan air bawah tanah sebagai sumber alternatif bagi air mentah; perkongsian data mengenai hasil dan kualiti sumber air mentah.

“Ia membolehkan supaya reka bentuk LRA akan lebih tepat; dan potensi pengkomersialan sisa rawatan air bagi kelestarian industri air negara,” katanya kepada Bernama selepas majlis pemeteraian MoU tersebut di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata kerjasama antara kedua-dua agensi ini juga membolehkan idea serta inovasi terkini diperkenalkan terutama reka bentuk infrastruktur pembangunan aset air baharu dan semakan tambahan jika diperlukan pada masa hadapan.

“PAAB yakin MoU in turut berpotensi untuk menambah baik inisiatif Water Asset Value Enhancement (WAVE) yang merupakan sebuah program penyelidikan dan pembangunan (R&D) diperkenalkan pada 2017,” katanya.

Program WAVE bertujuan meneroka teknologi baharu, penyelesaian yang lebih inovatif serta langkah terbaik dalam industri bekalan air.

Ia sebagai usaha untuk meningkatkan nilai aset air, meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna dan kerjasama dengan pihak kepentingan dalam industri bekalan air bukan sahaja di Malaysia malah berupaya menjadi penanda aras di peringkat global.

PAAB, sebuah syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan berperanan penting dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan meneroka bidang-bidang teknologi pemprosesan mesra alam serta mengambil kira faktor-faktor kesan perubahan iklim kepada reka bentuk dan lokasi sesuatu LRA.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan