AM

AKM Kelantan: Bicara Ulama Nusantara tampil tokoh agama terkenal Thailand, Malaysia

19/07/2022 01:18 PM

KOTA BHARU, 19 Julai (Bernama) -- Orang ramai dijemput menghadiri program Bicara Ulama Nusantara sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, Jumaat ini. 

Jurucakap program Bicara Ulama Nusantara berkata tokoh agama terkenal Baba Ghazali Ahmad Al-Fatani dari Pattani, Thailand akan membuat penampilan istimewa sebagai ahli panel.

Beliau berkata seorang lagi ahli panel ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

"Program bicara itu akan diadakan bermula 9 pagi. Kedua-dua tokoh berkenaan akan mengupas topik 'Memperteguh Kesatuan Ummah'.

"Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Dr Mohd Ramizu Abdullah@Zakaria akan bertindak sebagai moderator program," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Program Bicara Ulama Nusantara merupakan antara pengisian AKM Kelantan yang dijadual bermula 22 hingga 24 Julai ini.

Pelbagai acara menarik disediakan sepanjang AKM Kelantan seperti Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia, gerai pameran agensi dan kementerian, persembahan tradisional, bekwoh (kenduri), persembahan kebudayaan dan pertandingan Muay Thai.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap penyelaras AKM Kelantan Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata seramai 50,000 pengunjung dijangka menghadiri siri keenam jelajah itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan