EKONOMI

Unit Siab Holdings peroleh kontrak RM89.57 juta

07/07/2022 07:34 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Siab Holdings Bhd, Siab (M) Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM89.57 juta daripada SDM Assets I Sdn Bhd untuk membina sebuah bangunan perindustrian di Klang, Selangor.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, Siab Holdings menjelaskan kontrak itu merangkumi pembinaan sebuah gudang dua tingkat dengan ruang pejabat di tingkat mezanin, sebuah substesen elektrik, pondok pengawal keselamatan, kemudahan bersama (termasuk bilik solat, ruang makan dan kebuk sisa buangan), rumah tangki dan pam serta ruang mekanikal dan elektrik.

Projek itu dijangka siap dalam tempoh 12 bulan mulai tarikh mula laksana, jelasnya.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan Siab, Ng Wai Hoe berkata ia merupakan kontrak pertama kumpulan yang diperoleh pada separuh kedua 2022.

“Kami kekal optimis dengan prospek kami berlandaskan pendekatan strategik untuk meningkatkan nilai perolehan kontrak selain menambah baik kecekapan operasi menerusi penggunaan hasil yang dikumpulkan daripada langkah tawaran awam awal.

“Siab akan terus menyertai proses tender projek secara aktif untuk memastikan kami meraih peluang yang muncul semasa pemulihan daripada pandemik,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan