KOTA KINABALU, 7 Julai (Bernama) -- Media sosial wajar digunakan sebaiknya dalam menjalankan aktiviti dakwah Islam di negeri ini terutamanya bagi mendekati golongan muda, kata Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad.
Justeru beliau yang baru dipilih menerajui badan bukan kerajaan (NGO) itu pada 26 Jun lepas berkata, USIA sedang merancang untuk menjadikan media sosial sebagai salah satu pendekatan bagi aktiviti dakwah Islam yang berkesan di negeri ini.
Beliau berkata pendekatan itu akan dimasukkan ke dalam salah satu agenda pelan strategik tiga tahun USIA yang akan digubal dalam bengkel dilaksanakan pihaknya tidak lama lagi.
“Media sosial ini juga kita akan gunakan sebagai cara mengimarahkan (menghidupkan suasana) di masjid dan menarik lebih ramai anak muda terlibat dengan aktiviti sukarela dakwah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Ahli Majlis Tertinggi USIA di sini hari ini.
Berkongsi pengalaman, beliau berkata pendekatan media sosial itu digunakan oleh USIA Bahagian Sipitang diketuainya, dan Skuad Belia bahagian itu antaranya telah melaksana siaran langsung dalam media sosial Facebook tentang aktiviti dakwah.
“Siaran langsung Facebook berkenaan ceramah daripada agamawan dilaksana Skuad Belia mendapat sambutan menggalakan daripada warganet bermakna media sosial ini mampu menarik ramai orang untuk aktiviti dakwah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial