AM

Wujud kedai harga rendah, bantu golongan B40 dan M40 tangani kos sara hidup - Pakar

07/07/2022 12:27 AM

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Wujudkan kedai harga rendah dengan menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan antara cadangan pakar ekonomi dalam menangani isu kos sara hidup ketika ini.

Penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Yusof Saari mencadangkan kedai harga rendah itu dibuka di kawasan penempatan golongan B40 dan M40 bagi memastikan golongan sasar itu benar-benar memperoleh faedah berkenaan.

“Dengan mewujudkan kedai harga rendah ini, golongan B40 dan M40 dapat menerima manfaat dan penjimatan dalam perbelanjaan harian.

Bagi memastikan manfaat ini diterima golongan sasar, kerajaan boleh menyediakan kad khas dan hanya individu mempunyai kad ini sahaja boleh membeli di kedai berkenaan,” katanya sebagai tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Menangani Kos Sara Hidup, Peranan Siapa?”, malam ini.

Turut menjadi tetamu program berkenaan,  Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Roziah Abudin.

Selain itu, Yusof mencadangkan agar kerajaan melaksanakan tinjauan mengenai subsidi diberikan kepada orang ramai seperti subsidi minyak masak paket satu kilogram bagi melihat inisiatif yang dilaksanakan kerajaan berkesan atau sebaliknya.

Sementara itu, Roziah berkata negara mengamalkan sistem ekonomi pasaran terbuka dan dalam sistem berkenaan, harga tidak dapat dijangka, justeru timbul kekhuatiran berlaku peningkatan harga barangan secara mendadak.

“Di sinilah kerajaan mainkan peranan, intervensi kerajaan bagi memastikan harga tidak naik secara mendadak… inilah dilakukan kerajaan ketika ini dalam memastikan industri dan peniaga terjaga manakala kebajikan pengguna terbela sekali gus mencapai titik keseimbangan antara industri dan pengguna,” katanya.

Beliau berkata antara usaha dilakukan kerajaan dalam menangani kos sara hidup hari ini antaranya mengekalkan subsidi minyak masak dalam paket dan tidak mengapungkan harga ayam dengan meneruskan subsidi serta menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan