PADANG TERAP, 5 Julai (Bernama) -- Felcra Berhad (Felcra) mengumumkan sejumlah RM153 juta Bayaran Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2022 75,800 pesertanya di seluruh negara tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata jumlah itu merupakan kenaikan 106 peratus atau hampir RM79 juta berbanding tahun lalu.
“Prestasi yang dicatat oleh Felcra Berhad ini sangat membanggakan dan saya sememangnya menggalakkan agar Felcra menjalankan kerjasama dengan syarikat swasta yang lain supaya dapat mengembangkan lagi perniagaan syarikat terutamanya dalam bidang teknologi pertanian.
“Ini sekali gus dapat menambah dan meningkatkan lagi keuntungan operasi Felcra dan seterusnya memberi pulangan pendapatan yang lebih baik kepada seluruh peserta,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2022 Felcra, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mad Roni Zakaria.
Menurut Mahdzir, bayaran keuntungan itu akan dibuat secara beperingkat bermula hari in.
“Peningkatan prestasi Keuntungan Boleh Agih tahun ini adalah dipengaruhi oleh peningkatan harga komoditi sawit dan getah. Sehingga April 2022, purata harga komoditi sawit adalah hampir RM1,200 iaitu kenaikan sebanyak RM550 atau lebih 79 peratus berbanding harga tahun lalu iaitu RM670.
“Berlaku kenaikan purata pendapatan ladang per hektar juga iaitu sebanyak RM4,900 atau hampir 57 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM3,100,” katanya.
Menurut Mahdzir pencapaian utama Felcra telah berjaya menyatukan dan memulihkan tanah yang bermasalah menjadi sebuah ladang dan estet besar dan ia harus dijadikan contoh kepada kawasan pertanian kecil lain di seluruh negara.
“Inisiatif penyatuan dan pemulihan tanah bermasalah yang dilaksanakan oleh Felcra dengan kos pengurusan minimum iaitu 6.5 peratus sahaja telah merealisasikan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan masyarakat di luar bandar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial