KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Dua beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah dan Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing melepasi halangan pusingan pertama di Masters Malaysia 2022 di sini, hari ini.
Pearly-Thinaah menguasai perlawanan untuk mudah menundukkan pasangan dari India Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 21-14, 21-14 di Axiata Arena.
Meskipun mencatat kejayaan selesa, Pearly berkata beliau tidak berpuas hati dengan permainan mereka hari ini.
“Hari ini kami bermain agak perlahan dan tidak begitu agresif berbanding persembahan kami sebelum ini. Kami harap dapat membaiki corak permainan esok,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Beregu bukan pilihan itu bakal menentang satu lagi beregu India Ashwini Bhat K-Shikha Gautam, jika pasangan itu berjaya mengatasi cabaran pilihan keempat kejohanan Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun esok.
Sementara itu, Anna-Mei Xing mengambil masa 38 minit untuk menewaskan pasangan adik-beradik Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard dari Thailand 21-19, 21-17.
Anna-Mei Xing, yang berada pada ranking ke-37 dunia, akan bertemu Pichamon Phatcharaphisutsin-Nannapas Sukklad dari Thailand atau pilihan kelima Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun.
Anna berkata mereka tidak gentar dengan beregu Thailand itu yang berkedudukan ranking ke-30 dunia, kerana tanggungjawab mereka adalah untuk memberikan yang terbaik dan memastikan mereka kekal dalam kejohanan itu.
Namun, dua lagi pasangan tempatan, Low Yeen Yuan-Valeree Siow and Vivian Hoo-Lim Chiew Sen, tersingkir pada pusingan pertama.
Yeen Yuan-Valeree ditewaskan pasangan Indonesia Febby Valencia Dwijayanti Gani-Ribka Sugiarto 12-21, 17-21 manakala Vivian-Chiew Sen memberi tentangan sengit sebelum ditundukkan pilihan utama dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, 17-21, 21-23.
Terdahulu, empat beregu lelaki Malaysia termasuk Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu professional Goh V Shem-Low Juan Shen mara ke pusingan kedua.
Aaron-Wooi Yik menewaskan pasangan Jepun Akira Koga-Taichi Saito 21-16, 21-19 manakala V Shem-Juan Shen menumpaskan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia 15-21, 21-14, 21-19.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial