BERITA TERGEMPAR   Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | 
 JENAYAH & MAHKAMAH

Polis masih siasat punca sebenar kes bunuh isteri, bayi

05/07/2022 08:58 PM

KLUANG, 5 Julai (Bernama) -- Polis masih menyiasat punca sebenar kes seorang lelaki disyaki membunuh isteri dan bayinya yang berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata permohonan reman terhadap tukang cuci kapal berumur 24 tahun itu sudah dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kita akan ketahui juga motif sebenar kes ini kerana suspek telah ditahan reman selama tujuh hari," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kluang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng menyerahkan jawatan kepada pemangkunya DSP Abdul Razak Abdullah Sani.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata hasil ujian saringan air kencing lelaki itu, yang direman sehingga 11 Julai ini, adalah negatif.

Semalam, polis menahan suspek di kawasan Permas Jaya, Johor Bahru beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka.

Lelaki itu ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan bogel pada 2.45 petang dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripadanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan