AM

Banjir di Baling: Mayat terakhir daripada tiga sekeluarga ditemukan

05/07/2022 03:11 PM

BALING, 5 Julai (Bernama) -- Mayat remaja lelaki daripada tiga sekeluarga yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang melanda Kampung Iboi, Kupang di sini petang semalam, ditemukan pada 11.55 pagi tadi.

Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, yang merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai itu ditemukan tidak jauh dari lokasi dua mayat yang ditemukan sebelum ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata mayat mangsa ketiga ditemukan kira-kira dua jam selepas penemuan dua mayat pada 9.30 pagi tadi di lokasi berhampiran.

"Mayatnya ditemukan di bawah timbunan kayu dan berjaya dikeluarkan oleh pihak kami yang kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian banjir di Kampung Iboi, Kupang di sini hari ini.

Katanya mayat remaja itu dalam keadaan sempurna tanpa kesan kecederaan.

Terdahulu, dua mayat daripada tiga sekeluarga itu, Salmah Mat Akib, 53, dan menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang hamil empat bulan, ditemukan dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan kayu balak.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, ketiga-tiga mangsa berada di dalam sebuah rumah yang kemudian dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan