BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 EKONOMI

Terma perdagangan Malaysia catat pertumbuhan 1.0 peratus pada Mei 2022

04/07/2022 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Terma perdagangan Malaysia kembali positif dengan mencatatkan pertumbuhan 1.0 peratus bulan ke bulan kepada 112.0 mata pada Mei 2022, didorong kenaikan harga eksport, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan bagi Indeks Perdagangan Luar Negara Malaysia Mei 2022, jabatan itu menjelaskan pertumbuhan itu didorong oleh kenaikan indeks pelbagai urus niaga dan barangan (+22.3 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.57 peratus) serta pelbagai barang keluaran kilang (+0.55 peratus).

Perbandingan tahun ke tahun prestasi terma perdagangan Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif 8.2 peratus daripada 103.5 mata pada Mei 2021, tambahnya.

DOSM melaporkan harga eksport Malaysia pada Mei 2022 kekal kukuh dengan peningkatan 3.9 peratus kepada 148.6 mata daripada 143.0 mata pada April 2022.

Selaras dengan prestasi eksport, indeks nilai seunit import juga mencatatkan peningkatan 2.9 peratus kepada 132.7 mata, tambahnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks nilai seunit eksport meningkat 3.9 peratus pada Mei 2022 berbanding dengan bulan sebelumnya disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+9.6 peratus), minyak serta lemak binatang dan sayur-sayuran (+6.0 peratus) di samping alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+2.4 peratus).

Beliau berkata bagaimanapun, indeks volum eksport turun 9.1 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kejatuhan indeks barang-barang keluaran kilang (-25.6 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (-14.2peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-6.8 peratus).

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim susut 9.1 peratus daripada 162.2 mata kepada 152.4 mata manakala berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing berkembang 22.2 peratus dan 6.9 peratus,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Menurut DOSM, indeks nilai seunit import meningkat 2.9 peratus pada Mei 2022 berbanding dengan bulan sebelumnya didorong oleh kenaikan indeks minyak serta lemak binatang dan sayur-sayuran (+11.7 peratus), minyak galian (+11.0 peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+1.9 peratus).

Indeks volum import turut merekodkan peningkatan 0.7 peratus pada Mei 2022 berbanding dengan April 2022, disumbangkan oleh kenaikan indeks makanan (+9.5 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+6.3 peratus) serta pelbagai barang keluaran kilang (+4.0 peratus), tambah jabatan itu.

“Indeks volum import pelarasan bermusim pada Mei 2022 turut meningkat 0.7 peratus daripada 177.0 mata kepada 185.6 mata. Perbandingan tahun ke tahun pula menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 12.9 peratus dan 21.7 peratus,” jelas DOSM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan