AM

Labu sayong mewarnai jelajah AKM Perak

02/07/2022 09:07 PM

PASIR SALAK, 2 Julai (Bernama) -- Labu sayong menjadi antara produk kraf tangan warisan negeri Perak yang ditampilkan pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah di sini, bermula semalam hingga esok.

Industri pembuatan kraf tangan seramik tersebut menjadi sebahagian identiti unik negeri itu kerana tanah yang digunakan bagi menghasilkan labu sayong hanya terdapat di Kampung Sayong, di daerah Kuala Kangsar.

Pegawai Ehwal Ekonomi Kraftangan Malaysia Cawangan Perak Ku Norasriza Ku Ahmad berkata disebabkan produk itu antara tarikan di Perak, pihaknya telah membantu melahirkan lebih 100 pengusaha labu sayong di daerah tersebut.

“Kegunaan labu sayong sekarang sudah ditambah baik kerana selain sebagai bekas menyimpan air, ia turut dijadikan produk hiasan dalaman seperti lampu tidur, lampu ruang tamu dan rekaan lain,” katanya ketika ditemui Bernama.

Sementara itu, seorang pengusaha labu sayong yang ditemui di pameran usahawan Jelajah AKM, Harun Mat Jidin, 57 berkata beliau telah 20 tahun berkecimpung dalam pembuatan labu sayong menerusi perniagaan keluarga yang diwarisi turun-temurun.  

“Produk labu sayong ini menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang ke Kampung Sayong, selain lawatan oleh pelajar sekolah serta pihak yang menghasilkan tesis berkenaan seramik,” kata usahawan labu sayong di bawah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak yang turut mempunyai kedai Harun Pottery & Homestay, di Kuala Kangsar itu. 

Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Mastura Mohd Yazid berkata Jelajah AKM sangat bertepatan dalam mempromosikan produk tempatan.

“Jelajah ini dibuat di luar bandar, pastinya akan menjadi satu tarikan untuk pengunjung termasuk pengusaha industri kecil dan sederhana dalam meningkatkan ekonomi serta pendapatan mereka,” katanya ketika ditemui di Jelajah AKM, hari ini.

Jelajah AKM peringkat negeri Perak membuka tirai semalam dengan lebih 30,000 pengunjung dijangka menghadiri program tiga hari itu di Litar Dato' Sagor di Kampung Telok, Kampung Gajah di sini. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan