AM

PM mahu koperasi teruskan semula jihad memerangi orang tengah

02/07/2022 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu seluruh gerakan koperasi melalui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) meneruskan semula “Jihad Memerangi Orang Tengah” dalam memperkasakan agenda sekuriti makanan negara.

Ismail Sabri berkata beliau melihat koperasi boleh memainkan peranan dalam agenda tersebut kerana mempunyai ahli yang ramai, selain penglibatan mereka dalam pelbagai bidang termasuk peruncitan, pemborongan dan sebagainya.

Menurutnya langkah memperkasakan semula jihad itu perlu dilakukan kerana harga dan bekalan ketika ini kebanyakannya ditentukan oleh orang tengah.

“Justeru, sudah tiba masanya seluruh gerakan koperasi melalui Angkasa untuk memulakan semula gerakan yang telahpun saya perkenalkan, perjuangkan sewaktu saya jadi Menteri Pertanian (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) iaitu ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’.

Harap perkara ini dapat disambung semula dan Angkasa boleh memainkan peranan lebih signifikan dalam memperkasakan agenda sekuriti makanan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan