EKONOMI

MIDF Research turunkan unjuran akhir tahun 2022 FBM KLCI kepada 1,600 mata

01/07/2022 12:30 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- MIDF Research telah menurunkan unjuran yang dibuatnya ke atas FBM KLCI bagi akhir tahun 2022 kepada 1,600 mata daripada 1,680 mata sebelumnya.

Firma penyelidikan itu menjangkakan indeks penanda aras utama berkenaan akan kekal di bawah julat sejarah biasa dan ini disebabkan oleh kesan negatif daripada langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengetatkan dasar monetari secara agresif terhadap kecairan kewangan global serta risiko lebih tinggi yang dikaitkan dengan unjuran pendapatan.

“Bagaimanapun, pada masa hadapan, kami menjangkakan penilaian pasaran ekuiti tempatan meningkat lebih tinggi daripada paras semasa sejajar dengan jangkaan pendapatan yang lebih baik tahun depan,” kata MIDF Research dalam Tinjauan Kalendar Separuh Kedua Tahun 2022 (Second Half Calendar Year 2022 (2HCY222) Outlook).

Setakat tahun ini, FBM KLCI telah merosot 7.87 peratus pada 30 Jun, 2022, ditutup pada paras 1,444.22, berbanding 1,567.53 yang dicatatkan pada 31 Dis, 2021.

Berdasarkan asas suku tahunan, MIDF Research berkata indeks-indeks global menyaksikan prestasi suku kedua 2022 yang tidak menentu.

FBM KLCI mengakhiri suku pertama 2022 lebih tinggi sebanyak 1.3 peratus tetapi merosot sebanyak 8.4 peratus pada suku kedua 2022 setakat 27 Jun, 2022.

Berkenaan saranan ke atas sektor untuk 2HCY22 pula, firma penyelidikan itu bersifat positif terhadap sektor-sektor automotif, perbankan, pembinaan, pengguna, penjagaan kesihatan, minyak dan gas, perladangan, teknologi, media dan amanah pelaburan hartanah (REITS).

Ia menambah pemberian tender untuk Mass Rapid Transit 3 (MRT3) yang akan datang mungkin menjana beberapa faktor yang menggembirakan bagi sektor pembinaan.

Namun begitu, ia mengambil sikap neutral untuk sektor sarung tangan, kuasa, hartanah, telekomunikasi dan pengangkutan (yang termasuk penerbangan, pelabuhan dan logistik).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan