KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terus melakarkan pencapaian memberangsangkan dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus seperti yang dinyatakan dalam Laporan Kelestarian 2021 yang diterbitkannya pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif, Suhaimi Kamaralzaman berkata pencapaian bagi 2021 ini direkodkan melalui perancangan strategik yang rapi, pelaksanaan inisiatif kelestarian dan program pengurangan air tanpa hasil (NRW) dalaman yang lebih meluas.
“Selain itu, pembukaan semula sektor ekonomi serta berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga telah membantu mempertingkatkan kemajuan kerja yang dirancang,” katanya dalam kenyataan sempena penerbitan laporan itu.
Beliau berkata laporan kelestarian kedua bertema ‘Memupuk Ekosistem Air Yang Lestari’ ini memberi tumpuan kepada usaha dan strategi Air Selangor dalam terus memacu pengurusan dan pentadbiran bekalan air yang cekap dan lestari dalam jangka masa panjang kepada lebih 8.4 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menerusi laporan kelestarian ini, Air Selangor menyokong semua 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), katanya.
“Sokongan ini diterjemahkan melalui komitmen kami untuk mencapai lima matlamat utama yang berkait dengan operasi kami iaitu Matlamat Air Bersih dan Sanitasi (SDG 6); Matlamat Pertumbuhan Ekonomi dan Pekerjaan Layak (SDG 8); Matlamat Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab (SDG 12); Matlamat Perubahan Iklim (SDG 13) serta Matlamat Keamanan, Keadilan dan Institusi Yang Kukuh (SDG 16).
“Menerusi Strategi Kelestarian Air Selangor 2020-2022, kami menyokong SDG yang ditetapkan oleh PBB dengan memberikan tumpuan untuk mempertingkatkan daya tahan perkhidmatan bekalan air di samping menjamin bekalan air berterusan kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.
Suhaimi berkata Air Selangor kekal komited bagi menggerakkan segala usaha selain membuka ruang serta peluang dalam usaha merealisasikan aspirasi sasaran sifar bersihnya untuk menjadi pelopor organisasi yang lestari dalam industri air di Malaysia dan rantau Asia.
Laporan Kelestarian 2021 Air Selangor boleh didapati di https://www.airselangor.com/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial