AM

Media Indonesia dapat gambaran sebenar pengurusan penempatan pekerja asing di Malaysia

30/06/2022 08:31 AM

BANGI, 29 Jun (Bernama) -- Delegasi media Indonesia hari ini meninjau sendiri asrama pekerja asing wanita di Pangsapuri Sri Ayu di sini bagi mendapat gambaran sebenar mengenai pengurusan penempatan pekerja asing di negara ini.

Koresponden agensi berita ANTARA di Kuala Lumpur Virna Puspa Setyorini antara yang menyertai sesi tinjauan itu berkata pihaknya akan melaporkan hasil tinjauan itu dalam bentuk berita untuk disampaikan kepada warga Indonesia.

“Kami akan sampaikan situasi apa yang kami lihat hari ini dalam kaca mata wartawan kepada pembaca di Indonesia. Apa yang dikhabarkan ini semuanya boleh mencerahkan pengetahuan masyarakat Indonesia tentang suasana kehidupan tenaga kerja kita di Malaysia.

“Layanan ini boleh merapatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya selepas menyertai sesi lawatan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) ke asrama terbabit hari ini.

Sesi lawatan itu merupakan antara program Lawatan Setia Kawan Media Indonesia ke Malaysia selama empat hari bermula hari ini, bertujuan membuka ruang kerjasama strategik media Malaysia dan Indonesia, selain mengukuhkan hubungan serta kefahaman bersama dalam menangani isu yang mempunyai kepentingan bersama.

Program itu adalah kesinambungan daripada Program Pemimpin Media utama Indonesia yang hadir pada Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di Melaka, 29 Mei lepas.

Urusetia Iswami Malaysia Hakimi Zuffrida Mohd Zain pula menyifatkan program Lawatan Setia Kawan Media Indonesia ke Malaysia itu sebagai tali pengerat silaturahim antara media Malaysia dan Indonesia, serta mampu meningkatkan kefahaman tentang budaya dan adat resam antara kedua-dua negara.

Beliau berkata seramai 20 wakil media Indonesia menyertai program itu untuk melihat sendiri kemudahan yang ada di Malaysia untuk pekerja asing termasuk warga Indonesia.

"Program seumpama ini mampu tangani berita palsu dari sumber yang tidak tepat,” katanya yang juga Pengurus Saluran Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) TV.

Antara yang menyertai program itu ialah Timbalan Ketua Pengarang IDN Times Umi Kalsum; Timbalan Ketua Pengarang Sindo News Puguh Hariyanto; Pengarang Urusan Majalah Tempo Bagja Hidayat; Pengarang Urusan Detik.com Erwin Dariyanto dan Pengarang Urusan Bisnis Indonesia Galih Kurniawan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Pentadbiran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Saharom Mohni berkata asrama pekerja asing wanita tersebut telah beroperasi sejak 1998 yang menempatkan kira-kira 1,000 pekerja kilang elektronik di sekitar Bangi.

“Asrama pekerja ini khas buat pekerja wanita sahaja. Ada pengawal keselamatan bagi menjaga keselamatan, kehormatan dan privasi penghuni. Asrama ini menjadi bukti bahawa Malaysia menjaga hal ehwal pekerja asing. Apabila terjaga, ia dapat tingkatkan produktiviti pekerja,” katanya.

Saharom berkata PKNS juga membina asrama sama di Kelana Jaya iaitu Datum Incity Hostel yang mampu memuatkan lebih 5,000 pekerja asing dengan kos pembinaan bernilai RM120 juta.

“Asrama terbabit telah mula beroperasi dan kini sudah 60 peratus penghuni menetap di sana,” katanya, yang turut berharap delegasi media Indonesia dapat melaporkan perkara tersebut agar pekerja Malaysia yang bekerja di Indonesia mendapat layanan dan kemudahan sama.

Beliau berkata PKNS sedang dalam perancangan untuk membina pusat asrama pekerja (CLQ) di beberapa lokasi yang mempunyai kawasan perindustrian terbesar di negara ini bagi memastikan penempatan pekerja asing terancang dan berpusat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan