EKONOMI

PENGAMAL SEKTOR KEWANGAN DIGESA IKUTI PENGAJIAN MBA PERBANKAN BERTAULIAH - AZMAN HASHIM 

20/06/2022 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pengamal perbankan dan kewangan digesa untuk mengikuti pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Ahli Perbankan Bertauliah bagi meneruskan perjalanan kerjaya profesional mereka, kata Pengerusi Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) Tan Sri Azman Hashim.

Beliau berkata, mereka terbabit boleh memohon pengajian tersebut yang ditawarkan oleh Asian Banking School dan disokong oleh AICB di Bangor Business School di Wales, United Kingdom. 

“Ini merupakan laluan khas bagi membolehkan kalangan ahli perbankan bertauliah AICB mempercepatkan perjalanan pengajian dan memperoleh MBA dalam tempoh sesingkat 12 bulan.

“Pada masa sama, anda mendapat dua ijazah iaitu sebagai ahli perbankan bertauliah serta MBA. Oleh itu, saya menggesa mereka terbabit untuk memberi pertimbangan sewajarnya,” katanya selepas majlis penganugerahan Ahli Perbankan Bertauliah AICB Bagi Kali Kelima di sini, pada Sabtu.

Majlis itu menyaksikan seramai 177 individu memperoleh status sebagai ahli perbankan bertauliah oleh pihak AICB.

Mengulas selanjutnya, Azman berkata MBA Ahli Perbankan Bertauliah merupakan kelayakan tambahan dan memberi kelebihan untuk pengamal perbankan dan kewangan meraih kecemerlangan dalam industri yang lebih berdaya saing serta luas. 

Terdahulu dalam ucapannya, Azman berkata kalangan ahli perbankan yang cekap dan berkemahiran tinggi amat penting bagi membolehkan sistem kewangan Malaysia berfungsi dengan baik sebagaimana dinyatakan oleh Pelan Induk Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia 2022-2036.

“Sehubungan itu, anda bukan sahaja mempunyai kelebihan daya saing untuk cemerlang dalam peranan sebagai ahli perbankan profesional tetapi akan terus menjadi sebahagian daripada kelebihan Malaysia untuk menjana ekonomi yang berdaya tahan, progresif dan mampan.

“Ini juga dapat membantu mengekalkan Malaysia sebagai hab kewangan utama di rantau ini,” katanya.

Azman juga mengingatkan pengamal perbankan dan kewangan untuk sentiasa menerapkan aspek kredibiliti serta kebolehpercayaan dalam hubungan dengan pelanggan, majikan dan pihak berkepentingan, sejajar dengan kedudukan kepercayaan sebagai teras utama dalam industri kewangan.

Beliau turut memetik kenyataan Penulis dan Perunding Perniagaan Patrick Dixon yang menyifatkan kepercayaan sebagai satu-satunya bahan ‘jualan’ dalam industri perbankan atau kewangan.

“Oleh itu, jika kita mahu profesion ini dihormati, mampu menawarkan nilai sebenar dan berjaya di masa depan, ia perlulah mendapatkan serta mengekalkan kepercayaan dan keyakinan orang ramai yang kukuh.

“Ini kerana, biarpun perubahan serta gangguan itu menjadi normal baharu, kepercayaan sebaliknya kekal sebagai teras perbankan. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab mutlak anda semua selaku ahli perbankan untuk menyuntik keyakinan orang ramai dalam profesion ini berikutan jangkauan impak perbankan terhadap ekonomi serta masyarakat yang lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata, sejajar dengan kepentingan perbankan yang bertanggungjawab dan mampan bagi masa depan selain penekanan ke atas agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), industri terbabit turut memerlukan lebih ramai ahli perbankan bertauliah berkemahiran teras yang kukuh dalam aspek kredit, pinjaman dan pengurusan risiko selain pemahaman mendalam mengenai etika dan sosial perbankan.

Azman turut menekankan bahawa usaha menjadikan pekerja perbankan sebagai profesional adalah antara kaedah untuk membina budaya etika yang kukuh dan seterusnya menyokong serta melengkapkan matlamat dan tanggung jawab ESG sebagai satu industri.

“Dalam usaha anda memulakan kerjaya profesional, sebagai ahli AICB dan ahli perbankan bertauliah, pastikan anda turut mematuhi Kot Perilaku Profesional dan sumpah bagi berkhidmat dengan tahap profesionalisme serta etika tertinggi sebaik mungkin.

“Selaku pengerusi AICB dan Jangkauan Kolektif Industri Kewangan (FINCO) yang mewakili industri kewangan di Malaysia, saya amat teruja untuk melihat tanggungjawab terhadap komuniti ini diamalkan,” katanya.

AICB mempunyai seramai 630 ahli perbankan bertauliah serta lebih 34,000 ahli.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan