JENAYAH & MAHKAMAH

Polis akan panggil kesemua individu terlibat Perhimpunan Majlis Peguam

17/06/2022 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Polis akan memanggil kesemua individu yang terlibat dalam perhimpunan ‘Walk for Judicial Independence’ di Padang Merbok, di sini pagi tadi bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata kesemua mereka akan dipanggil ke  Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini dalam tempoh terdekat untuk memberi keterangan.

Katanya pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 15 (3) Akta Perhimpunan Aman 2012, Peraturan 6 dan Peraturan 7, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan Ke Endemik) 2022.

“Hasil pemerhatian, lebih 200 orang terdiri daripada ahli Majlis Peguam dan beberapa individu yang dikenal pasti dan belum dikenal pasti telah berhimpun pada perhimpunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata individu berkenaan telah mengadakan perhimpunan sambil memegang plakad dan banner bertulis ‘Jom Jalan 4 Judicial Independence, Pertahankan Kebebasan Kehakiman’.

“Polis menasihatkan agar orang awam tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan