AM

Masyarakat sambut baik tambang percuma pengangkutan awam, bantu kurangkan belanja

17/06/2022 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Kesibukan dan kesesakan di ibu kota menyebabkan masyarakat lebih suka memilih menggunakan pengangkutan awam, justeru rata-rata mereka menyambut baik pengumuman kerajaan yang memberikan tambang percuma selama sebulan mulai semalam bagi perkhidmatan itu.

Pengumuman tersebut meliputi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL iaitu Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Bas Transit Rapit (BRT), monorel, bas RapidKL selain komuter kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Tsoo Kah Yen, 30, ketika ditemui Bernama di Stesen MRT Maluri berkata beliau memperuntukkan hampir RM300 sebulan bagi tambang pengangkutan kerana memilih untuk tidak memandu kenderaan dan hanya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk berulang alik dari rumahnya ke destinasi. 

Tsoo yang merupakan kaunselor di sebuah perusahaan sosial mengakui pelaksanaan pengumuman itu sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan beliau pada bulan ini.   

"Saya mula menggunakan perkhidmatan tren sejak di universiti kira-kira 10 tahun lepas. Saya menetap di Ampang dan kerja di Taman Tun Dr Ismail, sudah tentu ini membantu menjimatkan perbelanjaan saya untuk tambang bulan ini kerana saya tidak memandu," katanya.

Senada dengan Tsoo, Nur Aqilah Haikal Aman, 19, pelajar sebuah kolej di sini berkata pemberian tambang percuma dapat mengurangkan beban ibu bapanya dalam memberikan wang saku bagi tambang pengangkutannya bulan ini. 

"Saya tak perlu tambah nilai kad Touch ‘n Go pada bulan ini, jadi dapat jimatkan sedikit perbelanjaan," katanya yang dalam perjalanan ke Perpustakaan Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan tren LRT. 

Muhammad Iqmal Hamid, 35 pula berkata tambang percuma bukan sahaja akan memudahkan pengguna malah mampu menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan awam. 

Tinjauan di Stesen LRT Hang Tuah mendapati untuk pengguna menaiki tren secara percuma, mereka perlu mendapatkan token masuk di kaunter manakala bagi pengguna kad Touch ‘n Go dan pas bulanan seperti My50 pass, mereka boleh terus menggunakan kad itu tanpa ada penolakan baki. 

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan memberikan tambang percuma selama sebulan itu ketika majlis perasmian pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa satu di Stesen MRT Kampung Batu, Taman Batu Permai.

Beliau dilaporkan berkata pengumuman itu selain dijangka dapat mengurangkan kos hidup rakyat, ia juga bertujuan mengurangkan kesesakan jalan awam. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan