AM

Cabaran pandemik tak halang capai 11A SPM

16/06/2022 04:35 PM

SEREMBAN, 16 Jun (Bernama) -- Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V di sini tidak menyangka memperoleh 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meskipun berdepan tekanan akibat COVID-19 sehingga terpaksa menukar sekolah ketika berada di tingkatan empat.

Amal Suraya Abdul Aziz, 18, berkata ia bagi mendapatkan persekitaran yang lebih baik dengan kekal fokus bagi menghadapi peperiksaan lebih-lebih lagi sesi pembelajaran beralih kepada secara dalam talian ketika itu.

“Antara cabaran besar adalah ketika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebab kena hadir kelas dalam talian, sekolah yang sebelum ini saya tidak dapat menyesuaikan diri untuk belajar.

“Jadi mak ayah saya ambil inisiatif pindahkan saya ke SMK King George V untuk memulakan perjalanan di sekolah baharu. Alhamdulillah saya lebih selesa dan rasa lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan SPM di sini hari ini.

Amal Suraya memperoleh 11A melalui Bahasa Melayu (A+), Bahasa Inggeris (A), Sejarah (A-), Matematik (A), Bahasa Arab (A+), Matematik Tambahan (A), Fizik (A), Kimia (A), Biologi (A-), Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah (A+) dan Pendidikan Syariah Islamiah (A).

Mengakui merasa mustahil untuk mendapat keputusan cemerlang itu selepas hanya memperoleh 7A pada peperiksaan percubaan, Amal Suraya yang bercita-cita untuk menjadi doktor berkata dia sentiasa fokus ketika pembelajaran selain segera bertanya kepada guru sekiranya tidak memahami sesuatu mata pelajaran.

Dalam pada itu, ibunya Yazmin Katab, 47, berkata dia dan keluarga sentiasa memberi semangat kepada Amal Suraya selain sentiasa menyokong usaha anaknya untuk menjadi pelajar cemerlang.

“Jika anak-anak kita nampak seperti tidak tentu arah kita perlu kenal pasti apa masalah dan jangan biar mereka begitu sahaja, kita bimbing mereka,” katanya.

Seramai 512 daripada 14,868 calon SPM 2021 di negeri ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan 10 calon daripada tujuh sekolah memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Bagi Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2021 pula, Negeri Sembilan mencatatkan penyusutan sebanyak 0.12 mata kepada 4.62 berbanding 4.50 mata pada 2020.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan