EKONOMI

Juwai IQI: Pembelian asing bagi hartanah kembali ke tahap sebelum pandemik menjelang akhir 2023

14/06/2022 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Tinjauan Juwai IQI ke atas hampir 350 ejen hartanah di seluruh Malaysia mendapati lebih dua pertiga menjangkakan pembelian luar pesisir bagi hartanah Malaysia akan kembali ke tahap sebelum COVID dalam tempoh 18 bulan atau menjelang akhir 2023.

Kumpulan teknologi hartanah itu berkata dalam kelompok kecil ini, 15 peratus ejen percaya pembelian asing akan kembali ke tahap sebelum kemelesetan menjelang akhir tahun.

“Daripada bilangan yang percaya bahawa pembelian asing hanya akan mencapai tahap sebelumnya pada tahun depan, 30 peratus percaya kita akan mencapai kejayaan itu menjelang Jun, manakala 23 peratus lagi percaya kita akan mencecah tahap berkenaan menjelang akhir tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI Kashif Ansari berkata apabila sempadan dibuka semula dan pembeli asing mulai kembali, Malaysia mempunyai banyak kelebihan sebagai destinasi pelaburan asing.

“Hakikat bahawa ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat daripada persekitaran global semasa pertumbuhan harga komoditi, membezakan kita daripada banyak negara Asia Tenggara yang lain. Itulah titik jualan utama kita.

“Selain itu, apabila inventori telah mereda dan harga mula naik, pelabur asing akan mendapati pasaran Malaysia tidak dapat diketepikan. Kebanyakan pelabur ingin membeli dalam pasaran yang semakin meningkat, dan hanya sedikit yang mempunyai ketabahan untuk membeli apabila harga jatuh," katanya.

Kashif juga berkata pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan yang kukuh juga berkemungkinan membawa kepada prestasi pasaran hartanah yang lebih mantap.

Sementara itu sejak 2017, beliau berkata Malaysia telah melonjak daripada destinasi kegemaran ke-10 pembeli China kepada destinasi kelima mereka.

Dalam pada itu, dipercayai bahawa dari 2022 hingga 2025, Malaysia telah berpeluang menarik pelajar antarabangsa yang mungkin pergi ke Amerika Syarikat atau Australia.

Bilangan pelajar China di AS menurun sebanyak 20 peratus.

"Malaysia boleh menarik pelajar ke institusi pendidikannya sendiri dan ini akan memberikan faedah besar kepada ekonomi Malaysia," kata Kashif.

Pada tahun 2019, lebih 32,000 pelajar antarabangsa mendaftar di institusi pendidikan Malaysia, menyumbang kira-kira enam peratus daripada jumlah pelajar.

Disebabkan oleh kualiti hidup yang tinggi yang ditawarkan serta harga yang agak rendah, Kashif berkata pasaran kediaman  Malaysia kekal menarik pembeli dari seluruh Asia.

“Pembeli juga percaya Malaysia mempunyai potensi besar untuk kenaikan harga dan sewa pada tahun-tahun akan datang, menjadikan inilah masa yang baik untuk membeli.

“Kita percaya program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), akan terus menjadi program yang berjaya di bawah dasar yang disemak semula. Pihak berkuasa mengumumkan pada Januari bahawa mereka telah menerima 111 permohonan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan