DUNIA

Arab Saudi perkenal aplikasi pintar baharu sempena Musim Haji 1443 H

14/06/2022 02:30 PM

Oleh Badrul Aini Sha'ari

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Arab Saudi memperkenalkan tiga aplikasi pintar termasuk dua yang baharu sempena musim haji 1443 H bagi melancarkan lagi urusan para jemaah semasa berada di tanah suci.

Jurucakap rasmi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MoHU), Hesham A. Saeed dalam temu bual bersama stesen televisyen Arab Saudi baru-baru ini berkata, dua aplikasi baharu itu ialah al-Munazzimin khusus untuk agensi yang menguruskan jemaah haji, mengandungi maklumat penting seperti tarikh pergerakan jemaah di Mina dan Arafat, manakala aplikasi al-Amilin bagi memudahkan urusan petugas haji bagi membantu jemaah.

Katanya, aplikasi al-Haj al-Zakiyy (aplikasi Pintar Haji) yang mula diperkenalkan pada musim haji lepas dan mengandungi semua maklumat asas berkaitan jemaah haji, kini sudah dikemas kini dan sedia untuk digunakan semua jemaah dari dalam dan luar Arab Saudi.

“Dengan hanya mengimbas kod bar pada aplikasi ini, petugas haji dapat membantu jemaah yang tersesat sebagai contoh, kerana semua maklumat jemaah berkenaan seperti status kesihatan dan nombor khemah sedia terpapar,” katanya.

Sementara itu, akhbar al-Asharq Al-Awsat yang memetik kenyataan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr. Tawfig AlRabiah berkata kementeriannya sentiasa memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap terbaik bagi menyambut kedatangan satu juta jemaah haji tahun ini demi menjamin kesihatan para jemaah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan