DUNIA

PBB disaran cari cara baharu untuk pastikan Israel patuhi undang-undang antarabangsa

14/06/2022 01:19 PM

GENEVA, 14 Jun (Bernama) -- Masyarakat global mesti segera meneroka cara baharu untuk memastikan pematuhan Israel terhadap undang-undang antarabangsa, menurut Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki pada Isnin.

Bekas pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB,Navi Pillay, berkata demikian ketika membentangkan laporan pertama suruhanjaya itu mengenai wilayah Palestin yang dicerobohi dan Israel kepada Majlis Hak Asasi Manusia, lapor Agensi Anadolu.

“Kami menegaskan bahawa pendudukan berterusan wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur dan Gaza, sekatan 15 tahun ke atas Gaza, dan diskriminasi yang berpanjangan dalam Israel semuanya berkait dan tidak boleh dilihat secara berasingan.

“Memandangkan Israel jelas menolak untuk mengambil langkah konkrit bagi melaksanakan penemuan dan cadangan oleh suruhanjaya sebelum ini, masyarakat antarabangsa mesti segera mencari cara baharu untuk memastikan pematuhan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Bekas pakar perundangan Afrika Selatan itu berkata masyarakat antarabangsa telah gagal mengambil langkah berkesan untuk memastikan Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan menamatkan pencerobohan.

Pillay berkata "pencerobohan berterusan" di Palestin dan diskriminasi berpanjangan di Israel dan Palestin adalah punca utama keganasan yang berpanjangan. 

“Ancaman pemindahan paksa, perobohan, pembinaan dan peluasan penempatan, keganasan penduduk dan sekatan ke atas Gaza semuanya telah dan akan terus menyumbang kepada kitaran keganasan,” kata bekas ketua hak asasi manusia itu.

Beliau berkata realitinya setelah bertahan selama beberapa dekad, ia telah mencetuskan rasa putus asa dalam kalangan penduduk Palestin di Palestin, Israel dan diaspora.

"Mereka dibiarkan tanpa harapan untuk masa depan yang lebih baik yang memberikan mereka hak asasi manusia sepenuhnya, tanpa diskriminasi," kata Pillay.

Beliau berkata situasi pencerobohan penempatan dan diskriminasi berterusan yang dilakukan “pihak berkuasa” Palestin untuk mewajarkan pencabulan dan penyalahgunaan undang-undang antarabangsa mereka, termasuk kegagalan Pihak Berkuasa Palestin mengadakan pilihan raya perundangan dan presiden.

“Pihak berkuasa de-facto di Gaza telah menunjukkan sedikit komitmen ke arah menegakkan hak asasi manusia dan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan