LABUAN, 8 Jun (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Labuan telah mempergiat pemeriksaan kesihatan di semua taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan prasekolah dalam usaha mengurangkan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak.
Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata pemeriksaan itu akan dilakukan secara berkala sehingga keadaan terkawal.
“Kami telah memberi peringatan kepada pengusaha Taska dan pusat jagaan prasekolah untuk memeriksa kebersihan premis masing-masing bagi membendung penularan HFMD.
“Pengusaha pusat jagaan prasekolah, taska dan taman didikan kanak-kanak (tadika) hendaklah membersihkan premis masing-masing secara berkala, setiap hari selepas sesi persekolahan,” katanya kepada Bernama.
Sekumpulan kakitangan kesihatan menjalankan pemeriksaan di Taska Nur Atiqah dan Taska Little Star hari ini.
“Kami sedang memantau keaddan dengan teliti, mengesan kluster baharu jangkitan dengan segera, memperkukuh pasukan respons kecemasan agar bersedia untuk pemeriksaan, pengesahan, penilaian, mengendali penularan serta menyediakan sokongan dalam kawalan dan rawatan penyakit apabila diperlukan,” katanya.
Dr Ismuni mengingatkan ibu bapa dan pengusaha pusat jagaan prasekolah agar lebih berwaspada terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
“Jadi adalah penting untuk ibu bapa meningkatkan tahap kebersihan diri anak mereka.
“Mencuci tangan dengan sabun dan air sebelum dan selepas makan serta ke tandas …menutup mulut dan hidung dengan tisu ketika batuk atau bersin… paling penting elok berkongsi makanan dan minuman, perkakas makan, berus gigi atau tuala dengan orang lain,” katanya.
Beliau berkata HFMD berlaku sepanjang tahun dengan wabak biasanya berlaku di pusat jagaan kanak-kanak dan berjangkit melalui saluran gastrousus.
“Ibu bapa perlu segera membuat pemeriksaan dan ujian terhadap anak masing-masing jika mereka mula mengalami gejala seperti demam dan ruam.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah menggesa semua Jabatan Kesihatan negeri agar merangka pelan intervensi berkaitan HFMD yang mampu meningkatkan kesedaran mengenai penyakit itu dalam kalangan masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial