AM

Bilangan kes HFMD di Pahang, Perak meningkat

08/06/2022 06:47 PM

KUANTAN, 8 Jun (Bernama) -- Sebanyak 3,760 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Pahang bermula Januari sehingga semalam, meningkat 16 kali ganda berbanding hanya 233 kes pada tempoh sama.

Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata daripada 3,760 kes itu, sebanyak 175 kes atau 4.7 peratus adalah penularan di prasekolah manakala selebihnya 3,585 kes (95.3 peratus) berlaku secara sporadik.

"Hanya 98 kes iaitu 2.6 peratus dimasukkan ke hospital bagi pemantauan lanjut namun tidak membabitkan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan dan pendidikan kesihatan berkaitan HFMD di taska dan tadika sekitar daerah Kuantan di sini, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata sehingga semalam pihaknya telah melawat 505 premis taska dan tadika di seluruh Pahang dengan 35 daripadanya ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988  (Akta 342) dan terdapat dua pusat jagaan harian membuat penutupan secara sukarela.

Katanya semasa pemeriksaan, petugas kesihatan turut mengajar pengusaha pusat jagaan supaya membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak yang hadir tidak mempunyai gejala HFMD seperti demam, ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah serta kurang selera makan.

Di PERAK, 194 kes HFMD dilaporkan sepanjang minggu epidemiologi 22 setakat Isnin lepas, meningkat 32 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas yang hanya merekodkan enam kes. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Mohd Akmal Kamarudin berkata empat taman asuhan kanak-kanak turut ditutup selepas kes jangkitan berulang berikutan terdapat ibu bapa menghantar anak walaupun bergejala. 

"Selain itu terdapat pengendali pusat asuhan yang tidak menjalankan saringan atau tiada bilik khas isolasi sekiranya anak jagaan bergejala," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan