KUALA TERENGGANU, 7 Jun (Bernama) -- Kualiti dan prestasi akademik serta hafazan al-Quran oleh pelajar sekolah-sekolah menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) tidak terjejas meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19 sejak tahun 2020.
Pengarah Yayasan Terengganu Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham berkata sesi pembelajaran akademik dan tasmik al-Quran diteruskan oleh guru dan pelajar menggunakan kaedah dalam talian sepanjang tempoh itu.
"Hasilnya, seramai 453 pelajar kini bergelar hafiz dan hafizah setelah khatam 30 juzuk dan kesemua mereka menerima sijil hafazan berserta wang tunai sebanyak RM1,000 setiap orang.
"Pencapaian akademik pelajar kita juga kekal cemerlang dan terbaik untuk Sijil Pelajaran Malaysia bukan sahaja di Terengganu malah di peringkat kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz YT yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 529 pelajar yang telah tamat persekolahan menerima sijil graduasi masing-masing selain penyampaian beberapa anugerah khas untuk pelajar cemerlang seperti Anugerah Quranik, Anugerah Ibnu Sina dan Anugerah Tokoh Ulul Albab.
Terdahulu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata pelajar-pelajar dari Imtiaz adalah antara hasil didikan terbaik di bawah kerajaan negeri yang akan menjadi peneraju masa hadapan dalam pelbagai bidang.
"Saya yakin Yayasan Terengganu telah mempersiapkan pelajarnya dengan pelbagai kemahiran seperti kepimpinan, kewibawaan akhlak, pembangunan intelek dan berdaya saing serta pembudayaan inovatif selaras dengan konsep tadabbur al-Quran melalui tiga prinsip utama Imtiaz iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.
"Manfaatkanlah ilmu ini dengan sebaik-baiknya demi kebaikan dunia dan akhirat agar nanti menjadi pemimpin yang bersifat holistik, seimbang duniawi dan ukhrawi pada masa depan," katanya.
Sekolah Menengah Imtiaz ialah sekolah elit milik kerajaan negeri yang diwujudkan di lapan daerah di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Dungun, Marang dan Kemaman untuk menawarkan sistem pendidikan kebangsaan dan integrasi bersepadu dengan hafazan al-Quran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial