Oleh Linda Khoo Hui Li
BANGKOK, 1 Jun (Bernama) -- Eksport pelbagai jenis buah-buahan Thailand semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna yang mementingkan kesihatan di seluruh dunia.
Menurut kenyataan Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa (DITP) Kementerian Perdagangan, Thailand ialah pengeksport buah-buahan ketujuh terbesar dunia, dengan nilai eksport berjumlah US$6.2 bilion pada 2021, peningkatan sebanyak 48 peratus, menurut data Global Trade Atlas.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lebih ramai gemar menikmati buah-buahan dan jus buah-buahan berikutan semakin ramai kini memilih diet lebih sihat, satu trend yang dilihat kian mendapat tempat dalam kalangan penduduk dunia semasa pandemik COVID-19.
“Buah-buahan segar mewakili bahagian terbesar eksport buah-buahan Thailand, dengan Asia menjadi pasaran utama. Negara ini juga mengeksport buah-buahan dalam tin ke seluruh dunia, buah-buahan beku, ais krim, buah-buahan kering, dan minuman, seperti nanas, mangga, jambu batu, dan jus serta air kelapa.
"Pasaran di Amerika Syarikat dan negara Eropah telah menyaksikan permintaan lebih tinggi untuk jus buah-buahan organik, selain jus yang rendah gula dan kalori, atau tambahan bahan-bahan menyihatkan termasuk vitamin dan probiotik," menurut DITP.
Sementara itu, Pengarah Urusan P.K. Siam Co., Ltd., Pimjai Matsumoto, berkata syarikatnya telah menawarkan pelbagai jenis buah-buahan kepada pengguna di Jepun.
P.K. Siam Co., Ltd adalah satu daripada pengimport buah-buahan Thailand yang terkemuka di Jepun.
"Kami bermula dengan buah mangga dan kini ditambah dengan buah-buahan lain seperti kelapa, durian, manggis, limau barli dan asam jawa.
"Asam jawa menunjukkan prestasi sangat baik tahun ini dan kini boleh didapati di banyak gedung beli-belah," katanya dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial