BUTTERWORTH, 30 Mei (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang mengeluarkan empat kompaun bernilai RM15,000 kepada dua premis perniagaan di Raja Uda, di sini yang menjual produk makanan viral luar negara kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
Pegawai Kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKN Pulau Pinang Mohd Wazir Khalid berkata dalam operasi bermula 10 pagi hari ini, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas dua premis perniagaan menjual makanan viral terutama dari Korea Selatan dan Jepun yang mendapat permintaan tinggi daripada pembeli sekarang ini.
"Dalam pemeriksaan itu, kebanyakkan produk makanan dalam bungkusan yang dirampas itu tidak mempunyai label seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Malah terdapat juga label yang tidak mempunyai nama sebutan sebenar produk makanan dan tiada label pengimport yang diperuntukkan di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Kami bimbang jika tiada label bagaimana produk-produk tersebut boleh masuk ke Malaysia," katanya kepada pemberita selepas selesai Ops Label, di sini hari ini.
Operasi lebih tiga jam itu turut disertai penguat kuasa Bahagian Perlesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MPSP).
Mohd Wazir berkata makanan yang diimport dan dijual di pasaran tempatan juga didapati menggunakan bahasa asing seperti Bahasa Korea, Jepun dan Thailand sebagai label produk mereka malah ada produk yang dijual bercampur antara yang halal dan tidak halal.
Katanya semua peraturan tersebut ditetapkan bagi memastikan produk makanan yang dipasarkan di pasaran tempatan selamat dimakan oleh pengguna dan tidak mengelirukan mereka.
"Macam pemeriksaan hari ini, kami mendapati produk yang dijual itu diletakkan bercampur antara halal dan tidak halal termasuk yang mempunyai sumber khinzir.
Kami khuatir pembeli Muslim tersilap beli kerana ia ditempatkan sekali dan saya telah arahkan peniaga tersebut untuk mengasingkannya supaya tidak timbul kekeliruan kepada pengguna," katanya.
Katanya pihaknya juga tidak menolak kemungkinan produk-produk yang tiada label dibawa masuk secara haram ke negara ini dan dalam operasi itu lebih 400 unit pelbagai jenis makanan dalam bungkusan serta air kotak dan tin bernilai RM1,500 dirampas.
Beliau mengingatkan kepada pembuat, pengimport, pengedar dan penjual supaya mematuhi segala kehendak pelabelan yang ditetapkan serta pengguna perlu bijak memilih makanan yang dijual dengan label yang lengkap dan tidak mengelirukan dari segi bahasa serta kandungan makanan bagi memastikan pengguna membeli makanan yang selamat untuk dimakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial