AM

Protune 2022 meriahkan Pulau Indah

29/05/2022 07:24 PM

PELABUHAN KLANG, 29 Mei (Bernama) -- Protune 2022 anjuran Benua Entertainment dengan kerjasama Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) meraih sambutan yang menggalakkan selain berjaya memeriahkan kawasan Pulau Indah, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif CSSB Mohamad Razif Abdul Wahab berkata program perlumbaan kereta dan motosikal yang berlangsung semalam dan berakhir hari ini itu, mendapat lebih 100 penyertaan selain dihadiri lebih 2,000 peminat sukan permotoran.

“Program ini sangat bagus, kerana kita dapat mengumpulkan remaja atau anak muda yang minat dengan industri permotoran. 

“Program ini juga dapat membantu komuniti setempat, seperti inap desa di kawasan Pulau Indah ini penuh dan mereka (komuniti setempat) juga disediakan ruang berniaga sepanjang program itu berlangsung,” katanya ketika ditemui Bernama di Taman Perindustrian Pulau Indah, di sini.

Sebanyak 10 kategori untuk kereta dan sembilan kategori bagi motosikal dipertandingkan dalam acara tersebut selain melibatkan peserta dari dalam dan luar Selangor.

Selain itu, Mohamad Razif berkata terdapat juga reruai menawarkan jawatan kosong disediakan bagi memberi peluang kepada belia yang hadir mencari pekerjaan di kawasan Pulau Indah.

“Saya sangat berbangga, selama ini orang mungkin tidak tahu mengenai Pulau Indah, mungkin hanya mengetahui nama.

“Ini adalah satu platform yang baik untuk mempromosikan produk kami iaitu lot industri di Taman Perindustrian Pulau Indah,” katanya.

CSSB, sebuah syarikat hartanah di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, adalah pihak bertanggungjawab membangun dan mempromosikan Pulau Indah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan