SEREMBAN, 28 Mei (Bernama) -- Sebuah kilang tilam musnah 80 peratus dalam kebakaran di Jalan Jelebu di sini petang tadi.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan PKPgB Mohd Hidayat Basly berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira 6.45 petang tadi.
"Kebakaran melibatkan kilang berkeluasan 200x100 kaki persegi dan status sama ada terdapat mangsa terlibat atau tidak masih belum diketahui setakat ini.
“Ketika ini kerja pemadaman kebakaran sedang dijalankan dengan bantuan balai bomba dan penyelamat (BBP) termasuk BBP Ampangan, Senawang dan Seremban 2 selain Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat),” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri Zamhuri Zainnordin berkata seorang anggota mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan tangan ketika operasi memadamkan kebakaran berkenaan.
Beliau berkata anggota terbabit telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.
“Cedera sikit sahaja, tidak kritikal, hanya terkena bahang ketika operasi api tiba-tiba tersebar… setakat ini juga tiada mangsa lain terlibat dalam kebakaran berkenaan selain pekerja kilang juga sempat menyelamatkan diri,” katanya kepada Bernama di sini malam ini.
Tinjauan Bernama setakat 9.30 malam ini mendapati kebakaran sudah dikawal namun pihak bomba masih melakukan kerja-kerja pemantauan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial