NILAI, 27 Mei (Bernama) -- Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin tidak mahu kisah di Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam terus membayangi skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara.
Sebaliknya, beliau yakin skuad di bawah kendalian Ketua Jurulatih Brad Maloney itu mampu melakar keputusan baik sekiranya kekal fokus dan mempamerkan kesungguhan tinggi dalam saingan Piala Asia B-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan pada 1 Jun-19 Jun ini.
“Saingan Piala Asia B-23 2022 adalah misi sebenar skuad muda negara selepas menggalas cabaran di Sukan SEA Hanoi. Jangan cepat berpuas hati, pemain-pemain kena berikan aksi lebih baik. Mereka perlu kekal fokus dan tidak perlu tertekan kerana kita sedar kejohanan pentas Asia ini lebih mencabar.
“Berdepan juara bertahan Republik Korea dan dua pasukan musuh serantau Thailand dan Vietnam dalam saingan Kumpulan C bukan mudah namun itu tidak bermakna kita tidak ada peluang,” menurut hantaran di laman Facebook rasmi FAM.
Hamidin berharap skuad B-23 akan berjuang habis-habisan hingga titisan keringat yang terakhir dalam kejohanan berkenaan.
Skuad B-23 akan berlepas ke Tashkent, Uzbekistan pada Ahad ini sebelum memulakan kempen Kumpulan C berdepan Korea Selatan pada 2 Jun, Thailand (5 Jun) dan Vietnam (8 Jun).
Dalam perlawanan pingat gangsa Sukan SEA Hanoi Ahad lepas, Malaysia tewas 3-4 kepada Indonesia dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam perlawanan selama 90 minit yang memaksa pemenang ditentukan melalui ‘loteri’ tanpa memasuki masa tambahan 30 minit.
Keputusan itu bermakna skuad negara gagal meraih sebarang pingat pada Sukan SEA buat kali kedua berturut-turut selepas skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee merangkul pingat perak pada edisi Kuala Lumpur 2017.
Kali terakhir Malaysia memenangi ‘ibu segala pingat’ Sukan SEA pada edisi 2011 di Indonesia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial