KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 kepada RM22.19 juta daripada RM12.98 juta sebelum ini.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu menyifatkan peningkatan tersebut disumbangkan oleh pelaksanaan langkah-langkah berhemat dan proaktif bagi mengurus kos operasi serta mengekalkan margin dalam persekitaran pandemik yang mencabar.
Perolehan hasil turut meningkat tujuh peratus tahun ke tahun kepada RM651 juta yang didorong terutamanya oleh prestasi operasi lebih baik dan disokong oleh peralihan kepada fasa endemik COVID-19.
Pendapatan asas sesahamnya meningkat kepada 0.51 sen berbanding 0.30 sen.
Berikutan pretasi yang memberangsangkan, syarikat itu mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 0.25 sen sesaham dengan jumlah pembayaran agregat sebanyak RM11.3 juta yang akan dibayar pada 29 Julai 2022.
“Kami kekal komited untuk meningkatkan lagi nilai bagi para pemegang saham menerusi pulangan secara konsisten,” kata Presiden merangkap Pengarah Urusan KPJ Healthcare Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.
Mengulas prospek syarikat, KPJ Healthcare sedang menumpukan usaha bagi meningkatkan kecekapan, hospital dan pelaburannya menerusi pelaksanaan pelan transformasi serta strategi pengoptimuman kos.
Seiring dengan keutamaan penjagaan pesakit menerusi usaha memanfaatkan teknologi digital bagi penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan, syarikat itu juga sedang mengenal pasti pelaburan yang berdaya maju untuk mengembangkan keupayaan dalam aspek penjagaan pencegahan dan kesejahteraan dalam usaha melengkapkan perkhidmatannya yang sedia ada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial