KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd melalui pendanaan awamnya, Sadaqa House menyasarkan kutipan sebanyak RM1 bilion di bawah dana kekal menjelang 2040.
Dana baharu bertemakan 'From Cradle to Graduation' itu bertujuan memberi manfaat kepada kalangan anak yatim di seluruh negara daripada peringkat bayi sehingga remaja dan memastikan mereka mampu melanjutkan pendidikan sehingga ke peringkat ijazah.
Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan Bank Islam Mohd Nazri Chik berkata jumlah dana tersebut akan dilaburkan dalam instrumen kewangan bersesuaian dan mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya pada kadar tiga peratus setiap tahun.
"Ini membolehkan Bank Islam menyalurkan RM3 juta setiap bulan kepada pendidikan dan kebajikan anak-anak yatim di Malaysia melalui hasil pulangan daripada pelaburan dana kekal tersebut.
"Setakat hari ini, jumlah dana yang terkumpul adalah sebanyak RM1.1 juta," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran dana anak yatim Sadaqa House di sini, hari ini.
Mohd Nazri berkata bagi memastikan manfaat itu disalurkan kepada anak-anak yatim yang layak, sebanyak 20 peratus daripada setiap sumbangan yang diterima sebelum 2040 akan disalurkan kepada inisiatif bersama rakan-rakan pelaksana manakala baki 80 peratus dimasukkan terus dalam dana kekal berkenaan untuk menjana hasil yang mampan.
Menurutnya, sejajar dengan strategi perniagaan lima tahun Bank Islam yang bermatlamat memperkasakan agenda Kewangan Sosial, bank tersebut turut komited dalam menggerakkan usaha-usaha perkongsian rezeki dengan pelbagai golongan sasar bagi memastikan keterangkuman kewangan yang menyeluruh.
"Sebagai permulaan komitmen terhadap usaha ini, Bank Islam turut menyalurkan sebanyak RM761,000 untuk agenda-agenda yang dipersetujui bersama tiga rakan pelaksana Sadaqa House iaitu OrphanCare Foundation, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia dan Youth Empowerment Foundation," katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang berminat membuat sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun 'Sadaqa House Orphan Fund' di nombor akaun 14014010188888 atau melayari laman sesawang www.sadaqahouse.com.my untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial