EKONOMI

UMediC dapat kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE

26/05/2022 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- UMediC Group Bhd mendapat kelulusan pihak Bursa Malaysia Securities Bhd dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata menjelang penyenaraian itu, UMediC akan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) yang merangkumi terbitan awam sebanyak 97.22 juta saham-saham baharu.

Ini termasuk 18.69 juta saham yang akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia manakala 13.08 juta diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan rakan perniagaan yang layak dan telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.

Baki 65.44 juta saham baharu UMediC akan turut ditawarkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

UMediC secara dasarnya menceburi bidang pemasaran dan pengedaran pelbagai peranti perubatan berjenama serta penyediaan perkhidmatan selepas jualan untuk semua produknya.

“Kami tidak hanya menjangkakan permintaan bagi peranti perubatan akan terus berkembang, tetapi pada kadar yang kekal meningkat. Oleh itu, kami akan mencuba sedaya upaya untuk memanfaatkan peluang tersebut,” kata Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Taw Seong.

Menurutnya, syarikat itu berhasrat untuk menggunakan hasil yang terkumpul daripada IPO itu bagi persiapan masa depan menerusi pembinaan kilang baharu untuk mengembangkan lagi pengeluarannya selain kapasiti penyimpanan bagi memenuhi permintaan pasaran di masa depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan