KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Sunway Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM140.11 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2022, berbanding RM58.45 juta pada suku yang sama dalam persekitaran prestasi operasi lebih kukuh daripada kebanyakan segmen perniagaan.
Kumpulan itu merekodkan perolehan sebanyak RM1.11 bilion berbanding RM846.11 juta, mewakili peningkatan sebanyak 31.5 peratus berikutan hasil lebih kukuh yang dicatatkan daripada kebanyakan segmen perniagaan kecuali segmen perdagangan, pembuatan dan kuari.
“Kami berpuas hati prestasi kewangan kumpulan terus kukuh pada suku semasa yang telah mendapat manfaat daripada pemulihan dalam pelaburan hartanah dan segmen penjagaan kesihatan.
“Kebanyakannya disebabkan oleh pelonggaran langkah pembendungan COVID-19 dan permintaan terpendam yang kukuh,” kata Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sunway, Chong Chang Choong dalam satu kenyataan hari ini.
Sunway berkata keuntungan daripada dua projek pembangunan hartanah kumpulan yang sedang berjalan di Singapura hanya akan diiktiraf selepas projek tersebut siap dan diserahkan menurut Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 15.
Keuntungan terkumpul projek-projek tersebut berjumlah RM69.9 juta, dimana RM18.2 juta tidak diiktiraf pada akhir suku semasa, katanya.
Mengenai prospek, Chong berkata kumpulan itu optimis prestasi kewangan bagi baki tahun ini akan memuaskan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial