BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Kerjaya Prospek Group Bhd optimis mengenai prospeknya pada tahun ini, disokong oleh aktiviti pembinaan yang baik, didorong oleh permintaan yang meningkat terhadap hartanah dan pelannya untuk melancarkan lebih banyak projek pada masa depan.
Pengerusi Bukan Eksekutif Datuk Tee Eng Ho berkata pendapatan daripada pembinaan meningkat sebanyak 11.5 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama pada tahun ini, berikutan bil peringkat siap yang tinggi daripada aktiviti pembinaan yang meningkat dalam tempoh tersebut.
“Segmen pembinaan dijangka menjadi penyumbang terbesar kami pada masa depan dan kami menjangka segmen nilai perolehan kontrak akan meningkat daripada paras semasa sebanyak RM1.6 bilion,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan suku pertama syarikat berakhir 31 Mac 2022 di sini hari ini.
Nilai perolehan kontrak terkumpul segmen pembinaan Kerjaya Prospek berjumlah RM4.4 bilion, dan RM2.2 bilion daripada projek berkaitan kumpulan.
Tee juga berkata walaupun pendapatan lebih tinggi dicatatkan dalam tempoh tersebut, margin keuntungan pada suku pertama 2022 merosot kepada 9.6 peratus daripada 9.8 peratus dicatatkan pada suku pertama 2021.
“Margin keuntungan terjejas oleh kenaikan kos bahan mentah dan kami menjangkanya akan kekal di rantau ini,” katanya, sambil menambah syarikat mendapat bahan mentah di peringkat tempatan.
Mengulas lanjut, Tee berkata perkembangan luaran seperti sekatan pergerakan di China, konflik Ukraine-Rusia dan gangguan rantaian bekalan memberi impak yang besar kepada harga bahan mentah di seluruh dunia.
“Harga hanya akan turun jika keadaan bertambah baik...Sehingga itu, industri akan terus bergelut,” katanya.
Sementara itu, pada suku pertama 2022, keuntungan bersih Kerjaya Prospek meningkat kepada RM28.86 juta daripada RM26.39 juta dicatatkan pada suku tahun sama pada tahun lepas manakala pendapatan naik kepada RM300.59 juta daripada RM268.67 juta sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial