POLITIK

COVID-19 sedia peluang kepada Malaysia untuk selaras semula ekonomi - Tengku Zafrul

26/05/2022 01:10 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Pandemik COVID-19 menyediakan peluang kepada Malaysia untuk melaras semula ekonomi dan negara perlu memanfaatkannya dengan menangani isu ekonomi jangka pendek, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini.

Bercakap pada sesi panel di Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) dii Davos, Switzerland, Tengku Zafrul berkata sejak 2020, Malaysia telah memperkenalkan pakej-pakej rangsangan di samping menangani isu-isu jangka panjang di bawah tiga prinsip iaitu responsif, tanggungjawab dan pembaharuan. 

"Dalam tempoh jangka panjang, semuanya adalah tentang pembaharuan. Satu daripada perkara yang kami lakukan adalah semasa kami mengumumkan pakej rangsangan untuk menangani (isu) jangka pendek dan pada masa yang sama, kita perlu lihat sama ada ada ia mempunyai kesan (positif) dalam tempoh jangka panjang,” katanya pada sesi panel WEF yang bertajuk ‘Taking the Long View.’ 

Memetik ekonomi gig sebagai contoh, Tengku Zafrul berkata industri itu menerima kesan semasa tempoh sekatan pergerakan ekonomi dan kerajaan telah meluaskan capaian perlindungan sosialnya kepada pekerja- pekerja gig termasuk memberi manfaat tunai. 

"Di Malaysia dan Asia Tenggara, ekonomi gig adalah sangat besar dan ia berkembang setiap hari, tetapi mereka tidak mempunyai perlindungan sosial kerana mereka tidak mencarum kepada dana pencen dan keselamatan sosial,” katanya.  

Beliau juga berkata banyak isu yang mempunyai impak merentasi jangka masa lebih panjang seperti pekerjaan dan taraf hidup, memerlukan usaha daripada kerajaan untuk mengimbangi kepentingan rakyat hari ini terhadap mereka yang akan hidup pada masa depan. 

“Ahli politik dan kebanyakannya penggubal dasar di banyak negara di seluruh dunia sering dituduh terlalu menumpukan kepada isu jangka pendek sehingga mengorbankan isu jangka panjang kerana mereka cenderung untuk berada di bawah tekanan untuk bertindak pantas dan menyediakan manfaat ketara dalam tempoh jawatan yang akan dipilih semula,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan