AM

Berita ringkas Bernama: 25 Mei

25/05/2022 09:25 PM

PUSTAKAWAN DISERU PASTIKAN PROGRAM GALAKAN MEMBACA CAPAI MATLAMAT

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Para pustakawan diseru berganding bahu untuk memastikan program galakan membaca mencapai matlamat dalam meningkatkan kadar literasi rakyat Malaysia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata program galakan membaca itu disasarkan kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara mengikut tahap usia dan kelompok institusi termasuk golongan khas.

“Pelaksanaannya adalah sejajar dengan gagasan Dekad Membaca Kebangsaan yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2030,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Tahunan Perpustakaan Malaysia 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata persidangan dengan tema ‘Tiada Sesiapa Yang Tertinggal: Perpustakaan Sebagai Agen Perubahan’ itu menepati peranan perpustakaan dalam semua komuniti setempat di seluruh negara sebagai pusat setempat bagi proses pengajaran, pembelajaran, perkongsian pengalaman dan ilmu.

-- BERNAMA 

 

MIROS, PLUS BEKERJASAMA UJI KEBERKESANAN MCAS

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengadakan kerjasama penyelidikan bagi menguji keberkesanan Sistem Amaran Perlanggaran Motosikal Miros (MCAS) (Motorcycle Collision Alert System) dan mempertingkatkan keupayaan dan kebolehsediaan sistem itu.

Miros dalam kenyataan hari ini menyebut kajian itu melibatkan penunggang motosikal sebenar dengan 45 unit sistem MCAS akan dibangunkan dan dipasang pada motosikal milik penunggang berkenaan yang berulang-alik ke tempat kerja. 

Menurut kenyataan itu, proses pencarian 45 orang peserta kajian dijadual bermula pada Jun ini dan akan diumumkan secara rasmi melalui platform media sosial dan kenyataan media dengan pemilihan peserta melibatkan kawasan Lembah Klang, Kedah dan Pulau Pinang.

“Sistem MCAS akan dipasangkan pada motosikal peserta selama tiga bulan untuk menguji keberkesanan sistem amaran perlanggaran tersebut. Hasil kajian ini dijangka akan dikeluarkan pada suku pertama tahun 2023,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

STB ADAKAN JELAJAH PROMOSI RWFM, BORNEO JAZZ 

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) akan mengadakan jelajah promosi ke Mid Valley Megamall di sini dan The Mall Mid Valley Southkey, Johor Bahru, bagi mempromosikan ulang tahun ke-25 Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) dan Borneo Jazz.

STB dalam kenyataan hari ini berkata acara di kedua-dua pusat beli-belah itu akan berlangsung secara serentak pada 27 hingga 29 Mei ini.

Agensi perjalanan domestik dan pengusaha pelancongan dari Sarawak akan turut menyertai aktiviti promosi tersebut.

Menurut kenyataan itu, jelajah tersebut akan turut berkunjung ke Plaza Gurney, Pulau Pinang pada 3 hingga 5 Jun ini.

RWFM dengan tema “Legendary Rainforest Celebration” akan diadakan dari 17 hingga 19 Jun ini secara hibrid iaitu konsert secara bersemuka bakal diadakan di Kampung Budaya Sarawak dan ia juga boleh ditonton secara langsung menerusi platform dalam talian.

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan