AM

RM486.32 juta untuk pelbagai projek pelancongan Sarawak di bawah RMK-12

25/05/2022 05:41 PM

KUCHING, 25 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak telah menerima dana berjumlah RM486.32 juta bagi melaksanakan pelbagai projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menterinya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini bahawa RM472.33 juta daripada jumlah itu diterima daripada kerajaan negeri, manakala selebihnya daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Beliau berkata RM379.87 juta telah dibelanjakan bagi menyiapkan 11 projek utama yang kini menjadi produk pelancongan baharu dalam negeri, antaranya pembinaan Muzium Kebudayaan Borneo, menaik taraf muzium, serta Santubong Archeological Park dan Wallace Centre.

Menurutnya 10 lagi projek disasar untuk disiapkan tahun ini, antaranya kerja-kerja menaik taraf kemudahan pelancongan Pangkalan Sapi, Muzium Tekstil, Muzium Sejarah Cina, Akuarium Bandar Raya Kuching, Kampung Budaya Sarawak, dan Fort Margherita’s English Tea House.

“Di bawah RMK-12, banyak produk-produk pelancongan baharu dicadangkan, termasuk penambahbaikan taman-taman negara, tebingan sungai dan kawasan rekreasi. Pelancongan Warisan turut diberi perhatian, dengan banyak muzium dan kubu lama akan dinaik taraf,” kata pada sesi penggulungan perbahasan usul terima kasih terhadap ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Sarawak di sini.

Abdul Karim berkata dalam tempoh dua tahun akan datang, sembilan lagi projek utama akan disiapkan, yang terdiri daripada galeri warisan dan pusat sumber di Long Terawan (Baram); Muzium Warisan Perindustrian Brooke Dockyard; kemudahan pelancongan Taman Negara Wetland Kuching; menaik taraf kemudahan di Taman Negara Santubong; Lumpur Bebuak (Meritam, Limbang), Air Terjun Melasak (Lawas) dan Taman Negara Niah; menubuhkan pusat seni persembahan di Bangunan Dewan Undangan Negeri Lama Sarawak; dan pembangunan pusat sokongan pelancong taman negara di Sematan, Lundu.

Sementara itu Menteri Pemodenan Pertanian dan Kemajuan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri, penyakit Demam Babi Afrika (ASF) dikesan di sembilan bahagian di Sarawak sejak kes indeks pertama dilaporkan di Buduk Bui, Limbang pada 14 Julai tahun lalu kini terkawal.

Beliau berkata bahagian Kuching, Serian dan Samarahan masih bebas daripada penyakit itu, hasil pelaksanaan ‘petak bebas ASF’ yang dilaksanakan bagi membendung penularan ASF di Sarawak sejak November 2020.

Katanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu untuk mencegah penularan ASF ke bahagian Kuching, Serian dan Samarahan; yakni kawasan yang membekalkan 75 peratus daripada pengeluaran daging babi secara komersial di Sarawak.

Dr Rundi berkata antara tindakan yang diambil termasuk mengharamkan import daging babi dari negara-negara yang dijangkiti ASF, langkah-langkah pengawasan, pelaksanaan program kesedaran, penambahbaikan langkah biosekuriti, kawalan pergerakan babi dan pelaksanaan "pemusnahan" diikuti dengan dekontaminasi.

“Jumlah keseluruhan babi yang dimusnahkan di bahagian Miri, Bintulu, Sibu, Sarikei, Kapit, Mukah, Betong dan Sri Aman ialah 15,028 ekor, terdiri daripada 4,978 ekor babi yang diternak di kawasan rumah persendirian dan 10,050 ekor babi yang diternak secara komersial,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di luar persidangan, Dr Rundi berkata cara terbaik untuk mencegah ASF adalah dengan memodenkan penternakan babi, yang seterusnya membolehkan Sarawak menjadi pengeksport utama hasil daging babi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan